Jho Low, Suboh sudah beri keterangan pada SPRM

Jho Low, Suboh sudah beri keterangan pada SPRM
SPRM masih menunggu Najib untuk memberi respons supaya pihaknya dapat mengambil keterangan beliau secepat mungkin.

Ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin sudah memberi keterangan mengenai syarikat itu dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan rakaman kenyataan itu dilakukan pada Ahad lepas oleh pegawai SPRM.

Namun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menyatakan beliau belum membaca kenyataan yang dibuat oleh Jho Low dan Suboh.

Tanpa mendedahkan lebih lanjut mengenai kenyataan tersebut, Shukri juga ditanya tentang hasrat SPRM merakam kenyataan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu itu.
“SPRM masih menunggu Najib untuk memberi respons terhadap perkara itu.

“Saya berharap Perdana Menteri akan memberi respons secepat mungkin tetapi semuanya terserah kepada beliau memandangkan beliau agak sibuk pada masa ini,” katanya, lapor Bernama.

Pada 12 Nov lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.

SPRM masih menunggu tarikh untuk menemubual Najib mengenai isu tersebut berkaitan dengan siasatan itu.

Pada hari yang sama juga, Najib telah memberi jaminan bahawa beliau akan memberi kenyataan kepada SPRM selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahunya bahawa beliau perlu memberi kenyataan kepada SPRM berhubung isu berkaitan dana politik supaya siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers