Pandikar Amin ugut letak jawatan

Pandikar Amin ugut letak jawatan
Debat dan kenyataan dari dua individu itu berkecenderungan menimbulkan tuduhan terhadap sifat seseorang yang jelas tidak dibenarkan dibawah Peraturan Mesyuarat 23 (10).

Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengugut akan meletak jawatan Speaker Dewan Rakyat sekiranya debat 1MDB antara Arul Kanda Kandasamy dan Tony Pua diteruskan.

Ini kerana, katanya, debat dan kenyataan dari dua individu itu berkecenderungan akan menimbulkan tuduhan terhadap sifat seseorang yang jelas tidak dibenarkan mengikut Peraturan Mesyuarat 23 (10).

“Kalau kerajaan mahu melibatkan perdebatan itu, saya tidak akan melibatkan diri saya dan saya secara dukacitanya akan mengundur diri sebagai Speaker kalau itu diteruskan. Pendirian saya jelas,” ujarnya sewaktu sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jelasnya, siaran langsung debat itu juga akan menyebabkan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan terjejas dan menimbulkan prejudis orang awam terhadap kredibiliti siasatan berkenaan.

Bagaimanapun, Pandikar menyatakan debat itu dibenarkan jika ia dijalankan dengan mematuhi dua syarat khusus iaitu Tony Pua harus meletak jawatan sebagai anggota PAC atau Arul Kanda tidak boleh terlibat dalam mana-mana bahagian siasatan PAC.

“Saya tidak akan menghalang sekiranya debat secara langsung diteruskan kedua pihak, namun saya benarkan dengan syarat bahawa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara harus meletakkan jawatan dari PAC atau tidak meletakkan jawatan tetapi tidak melibatkan diri mana-mana bahagian siasatan PAC yang melibatkan 1MDB.

“Manakala, Arul Kanda tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana bahagian siasatan PAC, ini bagi maksud mengekalkan ketelusan siasatan PAC selaras dengan Peraturan Mesyuarat sebelum kenyataan PAC itu dibentangkan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Pandikar Amin menyatakan perbahasan mengenai 1MDB hanya dibenarkan sekiranya siasatan PAC selesai.

“Apa salahnya kalau keputusan PAC dibuat terlebih dahulu, berbulan berbahas pun boleh. Tidak bolehkah rakyat menunggu sehingga penyiasatan dibuat dan PJU juga duduk dalam PAC, dan Arul Kanda akan dipanggil.

“Adakah perbahasan itu nanti akan dapat perbahasan tuntas, tunggu sehingga majlis ini boleh bahas sebaik mungkin. Selepas itu secara terbuka atau tiada terpulang, kenapa itu tidak boleh ditunggu,” tegasnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers