DAP tidak setuju desakan terhadap Azmin Ali

DAP tidak setuju desakan terhadap Azmin Ali
Desakan supaya Menteri Besar memecat Exco Pas hanya pandangan perwakilan dan DAP menghormati pandangan itu tetapi tidak semestinya diterima.

DAP tidak setuju dengan cadangan perwakilan yang mendesak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya memecat Exco Pas daripada pentadbiran negara.

Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Sue Lim berkata, desakan itu hanya pandangan perwakilan tetapi tidak semestinya diterima oleh parti itu.

“Itu pendapat daripada perwakilan sebab dalam konvensyen kita tempat untuk perwakilan bersuara, ia saluran terbaik…kita mesti hormat pandangan dia juga.

“DAP tak setuju dengan pandangan perwakilan tu..hanya menerima, mendengar pandangan, ambil maklum tetapi kita akan terus berbincang dengan kerajaan sedia ada dengan Menteri Besar bagaimana mencari satu mekanisma dalam konteks Selangor ini,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor pada Isnin.

Dalam Konvensyen DAP Selangor pada Ahad, seorang perwakilan mencadangkan pimpinan tertinggi parti itu memberi tempoh kepada Azmin untuk memecat Exco PAS daripada kerajaan negeri.

Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong, berkata sekiranya Azmin gagal berbuat demikian, pimpinan DAP harus tidak teragak-agak keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, desakan itu sepatutnya diketepikan dengan kesemua parti menumpukan usaha berkhidmat kepada negeri dan rakyat.

Naib Presiden Pas itu berkata, walaupun didesak, Pas tidak akan berganjak dan akan mahu terus kekal bersama kerajaan negeri.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers