Persepsi Negatif Umum Tidak Gugat Ikatan Syanie & Putera
Tidak mudah bagi seorang wanita yang berstatus janda untuk mengahwini seorang lelaki yang lebih muda daripadanya. Apatah lagi status Syaniza Hisham atau Syanie, 39, sebagai seorang selebriti mewujudkan persepsi negatif umum terhadap perkahwinannya dengan Nadi Putera Mohammad Zainol, 27 pada 1 Mac lepas.
Sudah lali dengan karenah masyarakat, Syanie yang tidak pernah merancang untuk berkahwin semula kini gembira setelah kembali mempunyai teman hidup. Syanie ketika dihubungi memberitahu bahawa dia tidak terkesan dengan tanggapan negatif masyarakat sebaliknya dia lebih mengerti dan redha dengan apa yang telah Allah SWT tetapkan untuk dirinya.
“Bila memikirkan persepsi orang terhadap hubungan saya dan Putera, sedih juga. Tetapi saya jauh lebih mengenali dia. Segala baik buruk dia sudah saya kenal ketika dia bekerja di syarikat produksi saya dulu sebelum dia berhenti untuk berkahwin beberapa tahun lalu.
“Selepas dia tidak menjadi pekerja di syarikat saya pun kami masih berhubung atas dasar bekas pekerja dan majikan. Keluarganya juga saya kenal kerana jika saya berkunjung ke utara, saya akan singgah di bertemu mereka di Kulim.
“Kami kembali rapat beberapa tahun kebelakangan ini selepas kami kerap berhubung dan bertemu. Tak perlu untuk saya jelaskan semua terperinci, cukup sekadar untuk pengetahuan umum dan saya terima ini semua sebagai kurniaan Allah SWT untuk saya,”ujarnya yang memberitahu bahawa tidak pernah terfikir untuk kembali berumahtangga setelah perkahwinan pertamanya berakhir 10 tahun lalu.
Memilih pulau percutian Langkawi sebagai lokasi dia dan suami mengikat janji kasih, Syanie dan Putera telah selamat melangsungkan perkahwinan mereka di Sandy Beach Resort pada 1 Mac lalu disaksikan lebih kurang 300 ahli keluarga dan sahabat handai.
“Idea datang daripada adik dan adik ipar saya untuk mengadakan beach wedding di Langkawi. Mulanya saya usulkan Port Dickson tetapi kerana inginkan suasana yang lebih santai, Langkawi adalah tempat yang paling sesuai dan saya sendiri pun sudah biasa dengan pulau tersebut.
“Lagipun banyak orang yang saya kenal disini kerana Langkawi adalah lokasi kegemaran saya jika ingin berehat walaupun sekadar dihujung minggu. Walaupun jauh di Langkawi, saya gembira kerana ahli keluarga dan rakan rapat ramai yang hadir,”ujarnya yang akan diraikan sekali lagi di majlis bertandang pada 9 Mac ini di Taman Selasih, Kulim.
Syanie yang sebelum ini tidak pernah memiliki cahaya mata bersyukur kerana berpeluang bergelar ibu kepada Mohd Putera Danish,6, dan Mohd Putera Dafiq,5 hasil daripada perkahwinan pertama suaminya itu. Namun dia juga tidak menolak jika ada rezekinya untuk memiliki anak bersama suami barunya itu.
Pasangan bahagia ini telah dinikahkan oleh wali Syanie iaitu bapanya, Hisham Abd Rahman, 63, pada jam 11.27 pagi 1 Mac lalu. Anak kepada produser Ruhani Abd Rahman ini turut gembira dan berterima kasih kepada individu yang menaja busana perkahwinannya iaitu Vida Bridal, Butik Bulan dan Iezla Bridal JB.
manusia memang tak pernah lekang dari persepsi...
ReplyDelete