Peluang Melihat Lebih Dekat 100 Gajet Rahsia Doraemon
Selama lebih empat dekad, nama Doraemon telah mencetuskan fenomenanya tersendiri di serata dunia sehinggakan nama seekor kucing robot berwarna biru itu begitu dikenali setiap individu tidak mengira faktor usia.
Doraemon, sejenis robot canggih dari masa hadapan di abad ke-22 telah diminta oleh tuannya, Sewashi Nobita untuk kembali ke zaman lampau untuk bertemu dengan Nobita Nobi, yang merupakan moyangnya dengan harapan dapat mengubah nasib keluarga Nobita untuk kesenangannya di masa hadapan.
Siri komik manga ini telah diterbitkan sebanyak 45 volume dan menjadi ikutan pembaca di serata dunia sehingga ke hari ini.
Sempena meraikan 100 tahun sebelum kelahiran Doraemon pada abad ke-22, Animation International Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen utama Doraemon di Malaysia, mengadakan ekspo berkenaan karakter kegemaran ramai itu di Dewan Ekspo Viva Home, Kuala Lumpur.
Ekspo tersebut telah mempamerkan 100 Gajet Rahsia Doraemon yang turut memaparkan patung-patung karakter itu telah bermula sejak 14 Disember 2013 dan berlangsung sehingga 23 Mac depan.
Ekspo ini diadakan selama empat bulan bagi memberi peluang secukupnya kepada peminat Doraemon melihat 100 jenis reaksi dan gajet mempesona kucing robot kesayangan mereka.
Di samping itu, para pengunjung juga berpeluang mendalami dunia Doraemon melalui kewujudan semula babak dan lokasi menarik yang sering dipaparkan dalam siri komik dan animasi televisyen seperti taman permainan dan kediaman Nobita.
Penganjuran ekspo ini juga kena pada masanya di mana ianya turut diadakan bagi memeriahkan lagi acara promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014). Malaysia juga bertua kerana menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mengadakan pameran Doreamon.
Selain mempamerkan 100 koleksi patung Doraemon bersaiz manusia, antara 100 buah gajet ikonik karakter itu yang disediakan kepada pengunjung adalah lampu suluh ajaib, pintu suka hati dan buluh terbang.
Pusat pameran itu turut menyediakan kedai cenderamata untuk para pengunjung. Antara cenderamata yang dijual termasuk patung, rantai kunci, bantal, pakaian kanak-kanak, lampu, kasut dan pelbagai barang hiasan berkaitan Doraemon yang ditawarkan pada harga serendah RM2.90 sehingga RM499.
Pengunjung juga boleh menyertai cabutan bertuah di mana sekiranya terpilih, dapat memenangi tiket penerbangan ke Nagoya, Jepun.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket ekspo di laman web MYTicket Malaysia atau www.my.ticket.my pada harga RM25 untuk dewasa dan RM15 kanak-kanak.
Tiket juga boleh diperoleh di 100 buah stesen minyak BHP di seluruh negara atau kaunter khas di Viva Home. Bagi kanak-kanak berumur tiga tahun ke bawah serta warga emas, kemasukan adalah percuma.
peminat peminat doraemon pasti takkan lepaskan peluang ni...
ReplyDeletemacam best jer kann..tp nye jauh lah pulak nak ke sana =)
ReplyDeletep/s: menabung IKEA untuk is