Sami Yusuf |
NAMA Sami Yusuf tidak perlu diperkenal lagi. Tersohor dengan lagu-lagu ketuhanan, penyanyi kelahiran Tehran ini optimis mengembangkan karier seninya di Eropah.
Baru melancarkan album keempatnya, Salaam di United Kingdom (UK) 8 Julai lalu, ianya masih belum terlewat buat jejaka yang berusia 33 tahun ini memperkenalkan karyanya di sana.
Meskipun sudah memasuki pasaran Asia Tenggara sejak tahun lalu, Sami tetap yakin minoriti Islam di Eropah tetap menyambut baik karyanya itu. Malah akui Sami, itulah caranya untuk terus berdakwah.
"Saya menganggap ia sebagai cabaran buat saya. Biarpun sesukar mana jalan yang kita tempuhi, tetapi jika niatnya di jalan benar, Insya-ALLAH... ada hikmahnya.
"Harapan saya agar album ini diterima masyarakat Eropah seperti mana ia diterima di Asia Tenggara," ujarnya.
Memuatkan 16 lagu dalam bahasa Inggeris dan Arab, Salaam menerima sambutan positif di negara Asia dan Timur Tengah.
Malah Sami turut menerima beberapa anugerah, termasuk jualan tertinggi di MENA.
Bertitik tolak dari itu, Sami yakin ia turut akan mendapat sambutan yang baik di Eropah.
Sementelah lagi, lagu-lagunya itu pernah mendapat maklum balas positif oleh minoriti Islam di sana.
Selain album tersebut Sami turut melancarkan single terbarunya di UK iaitu Wherever You Are khas untuk peminatnya di sana.
Bakat luar biasa
Menyingkap sejarah, pelantun Mother ini, Sami memulakan kerjaya muziknya dalam usia yang sangat muda sebagai penyanyi, penulis lagu, komposer dan penerbit.
Dia juga berjaya melancarkan album pertamanya, Al-Mu`allim dalam usia 23 tahun dan berjaya menjual album tersebut sehingga melebihi dua juta unit.
Jika dilihat latar belakang muziknya, Sami dianggap sangat bertuah kerana dikurniakan kelebihan dalam bidang tersebut.
Sebelum menyertai dunia seni, dia mempelajari dan mengkaji muzik dengan beberapa komposer terkenal dari sebuah institusi muzik paling berprestij di dunia, Royal Academy Of Music di London.
Di akademi tersebut, Sami belajar untuk bermain beberapa alat muzik termasuk piano, biola, tar, tombak, santour, daf, tabla dan oud.
Selain berbakat bermain alat muzik, dia juga mempunyai kebolehan untuk menulis lagu dengan baik dalam kesemua album yang diterbitkannya itu.
Malah album pertamanya itu dihasilkan sepenuhnya sendiri, tanpa bantuan orang lain. Ia sekali gus membuktikan Sami seorang pemuzik yang luar biasa.
Kehebatan Sami terus menjadi sebutan di beberapa negara Timur Tengah seperti Mesir dan Turki, bahkan di Afrika Utara serta Asia Tenggara.
Tak serik ke Malaysia
Walaupun berhadapan dengan kontroversi apabila konsert sulungnya di Malaysia tahun lalu dibatalkan secara mengejut di saat-saat akhir, Sami menyatakan dia tidak serik untuk mengadakan persembahan di negara ini.
Jelasnya, pembatalan tersebut berlaku di atas sebab-sebab teknikal dan tidak dapat dielakkan.
Namun, alasan sebenar penyanyi muzik ketuhanan masih lagi kabur selepas membatalkan konsert di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.
Meskipun sudah menyatakan maaf atas insiden tersebut menerusi laman sosial, Sami tidak kisah mengulangi permohonan itu atas dasar rasa tanggungjawab terhadap perkara tersebut.
Akui penyanyi itu, dia tidak mahu mengecewakan peminatnya di sini walaupun kesalahan itu didakwa bukan berpunca darinya.
"Sepatutnya bukan kesalahan saya, namun saya tetap ingin memohon maaf kepada peminat di atas segala kesulitan yang berlaku.
"Tidak mudah untuk saya membuat keputusan ini, tetapi ia disebabkan soal kontrak yang serius, saya harus akur dan terpaksa berbuat demikian," katanya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.