Video Tribute Murai Buat Seniman S.Shamsuddin (1929-2013)

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Artis veteran, Video, Tribute, Murai, buat, Seniman, S. Shamsuddin, 1929-2013


KUALA LUMPUR, 5 JUN 2013: Pemergian seniman veteran era akhir 50-an dan awal 60-an, Allahyarham S.Shamsuddin (1 January 1929 - 4 June 2013) yang disahkan meninggal dunia di Hospital Alexendra, Singapura pada jam 10.56 pagi semalam, bukanlah sesuatu yang mengejutkan buat kita semua.

Pada usia yang telah pun mencecah 84 tahun berserta dengan keadaan yang semakin hari semakin uzur disebabkan oleh sakit tua serta jangkita paru-paru berair, memang sudah dapat dijangka bahawa hayatnya tidak akan lama di dunia yang fana ini.

Namun, biarpun menyedari hakikat serta realiti itu, pemergian Allahyarham S Shamsuddin atau lebih mesra digelar Pak Sudin nyata cukup memilukan serta mengusik jiwa.

Masakan tidak, sesiapa yang membesar dengan filem-filem lakonan dan arahan Tan Sri P Ramlee khususnya yang berunsur komedi dengan trademark Bujang Lapok, pasti tidak akan mampu menghapuskan aksi dan gelagat Pak Sudin dengan dialog-dialog yang mencuit hati bersama punching-punching line yang memburai jiwa.

Ya, seniman yang dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura hasil daripada perkahwinan Dali bin Kechik dari Melaka dengan Khatijah Haj Ahmad yang memang berasal dari Geylang, Singapura ini memang dikurniakan bakat melawak yang luar biasa.

Kebanyakan dialog-dialog yang digunakan di dalam filem lakonannya bersama Tan Sri P Ramlee dan Dato` Aziz Sattar dihamburkan secara bersahaja sewaktu berada di lokasi atau ketika duduk minum-minum bersama rakan-rakannya itu.

Apa saja yang dihamburkannya itu memang lawak dan lawak itu pula disampaikan secara bersahaja dengan gelagat-gelagat yang tidak dibuat-buat. Menjadikan S Shamsuddin seorang pelawak yang tiada tandingan dan berada di kelasnya sendiri, hinggakan legasinya tak mampu diteruskan oleh anaknya, Ariff Shamsuddin.

Bermula dengan filem Aloha arahan B S Rajhans terbitan di Studio Malay Productions (MFP) di Jalan Ampas pada 1950, Pak Sudin telah membintangi hampir 30 filem kesemuanya. Namun, dia lebih dikenali dengan filem-filem komedi yang dilakonkan bersama Aziz Sattar serta P Ramlee terutama sekali siri Bujang Lapok.

Antara filem lain yang pernah dibintangi Pak Sudin adalah Sejoli (1951), Panggilan Pulau (1954), abu Hassan Pencuri (1955), Hang Tuah (1956), Antara Dua Darjat (1960), Bidasari (1964), Siti Mulishat (1962) serta Dia Ibuku (1981).

Pak Sudin mengahwini Puteh binti Esmoon pada 1954 dan mereka dikurniakan 7 anak beserta 14 cucu. Salah seorang anaknya itu adalah Arif Shamsuddin yang juga seorang aktor tv komedi di Singapura dan pernah menyertai program Maharaja Lawak Mega.

Sebagai tribute kepada Allahyarham Pak Sudin, portal murai.com.my ingin membawa anda menyingkap beberapa lakonannya yang cukup menjadi serta paling dingati oleh kita semua sampai saat ini iaitu Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang, Seniman Bujang Lapuk, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok serta Nasib Si Labu Labi dalam video khas ini. Selamat menonton: -



Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers