Nik Amir Nafi Sindir Wartawan Dalam KIL

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Nik Amir, Nafi, Sindir, Wartawan, Dalam, KIL


Oleh: Cinemaonline.com

KUALA LUMPUR, 5 JUN 2013: Filem pertamanya, "KIL" telah pun mula ditayangkan pada 30 Mei lalu, tetapi Nik Amir Mustapha sudah hampir selesai menjalani penggambaran filem kedua arahannya berjudul, Bikin Filem.

Pengarah muda ini enggan mendedahkan lebih lanjut butiran mengenai filem terbarunya itu, bagaimanapun berkongsi bahawa ia akan dibintangi barisan pelakon nama berbakat seperti Bront Palarae, Sharifah Amani, Siti Saleha dan juga Nadiya Nissa.

Sementara itu Nik Amir telah diminta mengulas berhubung beberapa babak yang seolah-olah kelihatan seperti menyindir segelintir wartawan hiburan tempatan dalam filem "KIL".

"Babak tersebut bukan satu bentuk serangan terhadap pihak wartawan. Malah, ia bukan juga tumpuan kepada jalan cerita "KIL". Namun ia hanyalah sekadar hiburan dan pemerhatian saya. Tiada niat untuk saya berperang dengan wartawan," jelas Nik Amir ketika ditemui di tayangan gala "KIL" baru-baru ini.

"Saya terkejut juga bila ada yang menyangka kami nak sindir wartawan menerusi babak itu. Tapi sebenarnya tidak. Sebaliknya kami ingin tujukan pada sesetengah pengarah yang bersikap terlalu obses dengan hasil filem mereka sendiri. Itu parodi untuk pengarah.

"Sebelum ini kebanyakan kami sering buat filem-filem indie. Jadi kami banyak bergaul dengan pengarah yang begitu. Niat kami sekadar nak 'mencuit' pengarah yang macam itu, bukan nak timbulkan apa-apa isu atau kontroversi dengan mana-mana pihak," jelasnya lagi.

Dalam babak tersebut, seorang wartawan hiburan (lakonan Aidil dari kumpulan Couple) telah menemuramah seorang pengarah terkenal (lakonan Hasnol Rahmat) yang gagal menarik penonton untuk menonton filem terbarunya. Karakter wartawan berkenaan yang gemar menyampuk serta dialog berbaur sindiran telah membuat media yang hadir ketika tayangan gala 'panas telinga'.

Pengarah berusia 28 tahun ini memohon maaf dan memberitahu dialog sindiran itu ditambah oleh Hasnol Rahmat sendiri serta turut mengakui kebebasan diberikan kepada barisan pelakon dari skrip.

"KIL" mengisahkan tentang Akil, seorang pemuda yang tertekan dan cenderung untuk membunuh diri, tetapi setiap cubaannya sentiasa gagal sehinggalah dia bertemu satu cara 'penyelesaian' sempurna. Life Action Bureau (LAB) akan membantu sesiapa yang ingin membunuh diri. Namun di saat akhir, Akil berubah fikiran selepas bertemu dengan seorang gadis bernama Zara.

Diterajui oleh Redza Minhat dan Cristina Suzanne Stockstill, "KIL" turut menampilkan Harun Salim Bachik, Hasnol Rahmat dan Dira Abu Zahar.

"KIL" turut ditayangkan di anugerah Marche du Film bersempena Festival Filem Cannes 2013 di Perancis pada 20 Mei lalu.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers