4 Gergasi Rock Asia Gabung Dalam Thunder in The East

KUALA LUMPUR, 28 MEI 2013: Gergasi rock Asia iaitu Loudness (Jepun), Search (Malaysia), Rusty Blade (Singapura) dan Slank (Indonesia) akan bergabung di atas satu pentas yang sama untuk menggegarkan industri rock tanahair di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Konsert yang diberi nama Thunder In The East 2013 ini bakal menjadi realiti buat para peminat muzik Rock yang sekian lama menantikan empat band hebat ini beraksi di atas satu pentas yang sama. Gabungan hebat ini sudah cukup untuk membuat mereka di luar sana teruja dan tidak sabar untuk 'sing-a-long' bersama dengan empat band lagenda kegemaran mereka ini.

Dibawakan khas oleh Clockwork Events dengan kerjasama dari Puzzleworks dan Inderacorp Ventures Sdn Bhd, konsert Thunder In The East 2013 bagaikan satu petanda buat para peminat muzik tanah air bahawa akan ada 'Panahan halilintar' hebat yang akan melanda Stadium Negara dengan muzik Heavy Metal dan Rock & Roll era 80an yang cukup sinonim dengan pentas tanah air.

Malaysia, Antarabangsa, Hiburan, Jepun, Singapura, Indonesia, 4, Gergasi, Rock, Asia, Gabung, Dalam, Thunder in The East, Loudness, Search, Rusty Blade, Slank, Rock Kapak, Rock n Roll


Nama konsert ini diambil sempena nama album kelima Loudness yang diterbitkan pada tahun 1985 dan merupakan album pertama bersama label Amerika Syarikat iaitu Atco Records. Kejayaan album ini boleh dilihat selepas berjaya menghuni cara Billboard 200 di kedudukan 74 selama 23 minggu.

Ini merupakan kunjungan kedua Loudness ke Kuala Lumpur selepas pertama kali menghiburkan para peminat mereka di negara pada bulan Julai 2011 di KL Life Centre sempena World Tour King of Pain, di mana mereka meraikan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Loudness pada tahun 1981.

Dalam pada itu, pemilihan Search untuk berkongsi pentas bersama Loudness dilihat satu keputusan tepat dengan status mereka sebagai sebuah band rock nombor satu negara. Dengan line-up terbaik mereka iaitu Amy (vokal), Kid (gitar), Din (gitar), Nasir (bass) dan Yazit (dram), Search yang boleh dikatakan 'sezaman' dengan Loudness tiada masalah untuk menawan Stadium Merdeka dengan lagu-lagu nostalgia 80-an mereka.

Apa yang menarik, dalam konsert Loudness di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Amy turut dijemput untuk berduet dengan Niihara dalam lagu Shadow Of War dan Let It Go. Amy ketika ditemui di konsert berkenaan dipetik sebagai berkata, dia teruja apabila diberi peluang berduet bersama Niihara dalam konsert terbabit.

Menambahkan kuasa 'panahan halilintar' dalam konsert Thunder In The East 2013 ialah Slank yang diterbangkan khas dari Jakarta, Indonesia. Walaupun nama Slank tidaklah segah band-band Indonesia lain yang lebih 'radio friendly' tetapi di Indonesia, Slank adalah fenomena.

Berbanding tiga band lain, Slank yang dibarisi Kaka (vokal), Bimbim (dram), Abdee (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) adalah yang paling 'junior' kerana album sulung mereka Suit...Suit...He...He (Gadis Sexy) diterbitkan pada 1990. Namun, kini dengan 19 album studio serta jualan keseluruhan mencecah jutaan unit, mereka adalah 'living legend' di Indonesia.

Slank pernah menghiburkan peminat di Malaysia dalam Konsert S2 bersama Wings dan Spider di Stadium Merdeka pada dan mendapat maklum balas amat positif.

Walaupun Singapura adalah tempat kelahiran band rock legenda Melayu, Sweet Charity serta band-band hebat lain seperti The Unwanted, Rockers dan Lovehunters, tetapi Rusty Blade berbeza kerana muzik mereka lebih berat selain persembahan yang cukup energetik!

Dengan mendambakan muzik dari band-band hebat seperti Black Sabbath, Judas Priest dan Iron Maiden, sudah pasti muzik Rusty Blade lebih berpaksikan bawaan muzik yang lebih berat.

Rusty Blade sebenarnya dianggap sebahagian daripada komuniti rockers di Malaysia pada waktu itu, seiring dengan nama-nama besar di Malaysia seperti Search, Wings, Lefthanded dan Bloodshed.

Selain Zan, band ini dianggotai Yantzen (vokal), Khalid Mobin (gitar), Md Noor Hendrix (gitar) dan Man Karan (bass). Mereka memiliki empat album iaitu 786 Ikrar Perwira (1986); Rintangan Hidup Dunia (1987); Berat (1988) dan Awas (1989) yang mana kesemuanya memiliki kelebihan sendiri dari segi lagu dan gubahan muziknya.

Kekuatan dan kelebihan setiap band ini adalah faktor menjadikan konsert ini sebagai konsert yang wajib ditonton sebagai membuktikan anda merupakan rockers sejati! Jadi jangan lupa untuk sama-sama menyaksikan konsert hebat Thunder In The East 2013 ini pada 30 Jun ini bermula jam 4.00 petang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Harga tiket bermula dari RM888(VVIP Platinum), RM398 (VIP Gold), RM258 (VIP Silver) dan RM138 (Tiket biasa). Tiket bagi dua kategori ini hanya dicetak terhad iaitu tiket VIP Platinum sebanyak 400 keping manakala VIP Gold sebanyak 1,000 keping.

Bagi pembelian tiket awal (early bird) bermula pada 18 Mei hingga 31 Mei dengan pembeli layak mendapat diskaun sebanyak 10 peratus untuk semua tiket. Tiket boleh dibeli di www.ticketpro.com.my atau hubungi 03-78807999.

Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenia konsert ini di www.clockwork.com.my atau di twitter @ThunderInEastMY; @clockwork _crew atau di Instagram @TITE2013.































Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers