Tun M dakwa dirinya lebih telus daripada Najib

Tun M dakwa dirinya lebih telus daripada Najib
Mahathir mendakwa Najib telah bertindak menyekatnya untuk berjumpa pemimpin dan juga ahli UMNO yang lain.

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah menghalang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam untuk menjatuhkannya sebagai Presiden UMNO ketika beliau berkuasa.

Bahkan beliau mengakui membenarkan kempen untuk mencabarnya diadakan.

“Saya tidak larang mereka berkempen di kalangan ahli-ahli UMNO dan ahli-ahli UMNO tidak dilarang oleh saya menghadiri kempen mereka.

“Bahagian-bahagian UMNO menjemput mereka untuk merasmikan mesyuarat bahagian dan mereka berkempen semasa perasmian dan di masa-masa lain,” ujarnya.

Jelasnya lagi bagi tujuan berkenaan, beliau tidak pernah menyekat sesiapa untuk mencalonkan mana-mana pihak untuk mencabarnya.

“Saya tidak anggap mereka musuh saya dan perlu diambil tindakan. Tidak ada larangan terhadap pencalonan oleh mereka kerana ini memang cara demokrasi. Di waktu ini calon-calon untuk Presiden Amerika Syarikat sibuk berkempen di mana-mana sahaja, kerana inilah cara demokrasi,” kata Dr Mahathir menerusi entri terbaru di blog chedet.cc.

Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila beliau cuba untuk menghalang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak daripada terus mengekalkan jawatannya.

“Saya tidak bersetuju dengan Najib, Presiden UMNO dan saya desak supaya dia disingkir. Walaupun masih ahli UMNO dan biasa menjadi Presiden UMNO, kini saya dianggap sebagai musuh kepada parti yang saya pimpin selama 22 tahun,” tulisnya.

Mengulas lanjut mengenai kenyataannya, Dr Mahathir berkata, walaupun masih belum dicabar secara rasmi tetapi Najib telah bertindak menyekatnya untuk berjumpa pemimpin dan juga ahli UMNO yang lain.

“Ada unsur ugutan dalam arahan ini. Akan diambil tindakan, akan dibuang dari parti, akan disiasat. Masa depan dalam parti akan menjadi gelap. Tidak boleh jadi pemimpin lagi; tidak akan dijadikan calon lagi,” katanya yang merujuk kepada ugutan-ugutan yang pernah diberikan Najib.

Jelasnya lagi, kini sesiapa sahaja yang bertindak untuk menegur Najib akan dituduh cuba untuk mensabotaj kerajaan, mengugat demokrasi, dan cubaan untuk menjatuhkan Presiden UMNO yang dipilih secara demokratik.

“Mereka yang membuat laporan polis kerana kehilangan duit kerajaan disoal dan disiasat, dijadikan muflis seterusnya ditahan. Apabila dibebas oleh mahkamah ditangkap semula bawah undang-undang baru, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang kononnya untuk pengganas,” ujarnya.

Selain itu, Dr Mahathir turut mendakwa bahawa imej negara kini sudah bertukar dari demokrasi kepada seakan-akan ‘negara polis’ di mana undang-undang telah disalah guna dan diguna untuk tujuan menakutkan rakyat.

“Kesalahan kerajaan dan Perdana Menteri tidak boleh disebut. Perjumpaan rakyat dihalang dengan berbagai cara, dituduh rasis.

“Kerajaan juga menggalakkan demonstrasi rasis diadakan kerana kononnya perhimpunan Bersih yang bertujuan meminta Najib berhenti didakwa adalah rasis. Selain ia juga dianggap sebagai satu percubaan orang Cina untuk menjatuhkan kerajaan Melayu,” ujarnya.

Pada masa sama, pihak kerajaan kini juga sering mengeluarkan kenyataan yang berbaur ugutan selain menyatakan bahawa sesiapa yang menjatuhkan Najib merupakan tindakan yang tidak demokratik.

“Kerajaan menuduh sesiapa yang mendedah kesalahan Najib sebagai percubaan mengguling kerajaan secara tidak demokratik. Sebenarnya, kerajaanlah yang bertindak mengugut rakyat, melarang ahli UMNO dari mendengar syarahan politik, kerajaan sudah tidak demokratik lagi.

“Tidak ada demokrasi untuk diruntuh oleh rakyat, kerana demokrasi sudah dimusnah oleh kerajaan,” katanya lagi.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers