Mufti Pahang memalukan Islam -Wan Ji

Mufti Pahang memalukan Islam -Wan Ji
Tuduhan DAP sebagai 'musuh Islam' adalah satu tuduhan yang berat dan ia haruslah diselesaikan dengan penuh ilmiah dan berfakta.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman didakwa memalukan Islam kerana menolak hasrat Pengerusi DAP negeri, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji untuk berbahas mengenai isu Khutbah Aidiladha.

Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BiPPA) Angkatan Muda Kedilan (AMK), Wan Ji Wan Hussin berkata, sepatutnya Mufti Pahang menerima jemputan bahas itu bagi membuktikan tuduhan bahawa DAP ‘musuh Islam’ .

Ini kerana, katanya, tuduhan yang berat mesti diselesaikan dengan penuh ilmiah dan berfakta.
“Dalam pengajian usul fiqh, ada kaedah menyatakan bahawa hukum sesuatu perkara, setengahnya terletak pada mengetahui gambaran perkara yang mahu dihukumkan itu.

“Sehubungan itu, wajib bagi Mufti berdialog dan berhujah dengan pihak DAP untuk memastikan sejauh mana kebenaran di sebalik dakwaan DAP sebagai Musuh Islam itu,” katanya dalam kenyataan media.

Wan Ji berkata, Abdul Rahman seharusnya bebas untuk berhujah selain tidak mempunyai rasa takut tentang kebenaran.

“Jika tidak, sudah pasti kenyataan mufti-mufti selepas ini akan dianggap picisan oleh rakyat Malaysia. Keadaan ini, sudah pasti memberi implikasi buruk pada imej institusi mufti di mata rakyat Malaysia terutama dalam kalangan bukan muslim,” katanya.

Pimpinan DAP tidak berpuas hati dengan kandungan Khutbah Aidiladha lalu yang didakwa memburukkan parti itu dan meminta Abdul Rahman meminta maaf.

Abdul Rahman enggan berbuat demikian dan mempertahankan kandungan khutbah serta tidak gentar jika DAP mengambil tindakan undang-undang.

Malah, Kerajaan negeri sedia menawarkan khidmat peguam terbaik kepada Abdul Rahman sekiranya DAP mengheret perkara itu ke mahkamah.

Pas juga menyokong Abdul Rahman dan menasihatkan DAP supaya tidak mencampuri bidang tugas mufti.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers