Muhyiddin paling layak ganti Najib-Tun M

Muhyiddin paling layak ganti Najib-Tun M
Masalah negara terutama ekonomi dan perkauman akan selesai jika Najib letak jawatan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin paling layak untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Timbalan Presiden UMNO itu memiliki ciri-ciri untuk menerajui negara.

Katanya, seseorang pemimpin yang baik mesti mengutamakan kepentingan negara berbanding diri sendiri dan pandai memelihara jawatan untuk melakukan perkara-perkara yang baik untuk negara.
“Pemimpin yang kita perlu ada ialah yang berkeupayaan memberi fokus kepada apa yang baik untuk negara bukan fokus kepada diri sendiri.

“Sekarang saya dapati tidak semua boleh menjadi pemimpin. Kita memerlukan seseorang yang berdedikasi untuk melakukan sesuatu kepada negara,” katanya yang dipetik daripada wawancara bersama majalah antarabangsa, The Diplomat.

Dr. Mahathir juga mengulangi keyakinan bahawa ekonomi negara terutama nilai Ringgit dan keyakinan pelabur asing akan kembali pulih sekiranya Najib berundur.

“Malaysia perlu membayar hutang dalam bentuk mata wang asing termasuk Dollar Amerika Syarikat. Kita perlukan lebih Ringgit dan untuk membuat lebih Ringgit kita perlukan ekonomi yang baik tetapi kita ekonomi kita baik, tidak berkembang dengan pantas, kita bukan semakin kaya tetapi semakin miskin,” katanya.

Dr. Mahathir turut mengulas perhimpunan Baju Merah yang diadakan selepas Perhimpunan Bersih 4.0 yang mencetuskan isu perkauman.

Katanya, Himpunan Baju Merah itu diadakan oleh kerajaan pemerintah untuk mengalih isu Bersih dan 1MDB dan supaya rakyat terus menyokong kerajaan.

“Kerajaan menjadikan Perhimpunan Bersih sebagai isu perkauman, Cina menentang Melayu yang sebenarnya tidak berlaku. Mereka terpaksa mengalih isu tuntutan Bersih dan 1MDB dengan mencipta isu perkauman.

“Perbuatan ini sangat bahaya tetapi kerajaan mahu rakyat terus menyokong mereka,” katanya.
Walau apapun usaha dilakukan kerajaan untuk mengalih pandangan rakyat , Dr. Mahathir tetapi berkeyakinan rakyat negara ini tidak akan melakukan sesuatu yang buruk.

Katanya, rakyat Malaysia sangat baik dan bertoleransi walaupun terdapat jurang perbezaan ekonomi antara kaum.

“Di sesetengah negara, perbezaan kaum dan budaya serta jurang ekonomi boleh menimbulkan keganasan. Tetapi di negara ini, walaupun terdapat ketegangan kaum tetapi tidak membawa kepada keganasan,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi amaran perkara sebaliknya boleh berlaku jika pihak tertentu melakukan sesuatu yang salah kerana negara pernah berhadapan dengan penentangan komunis dan rusuhan kaum pada 1969.

“Tetapi secara amnya, rakyat Malaysia hidup dengan aman,” katanya.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers