Siasatan 1MDB mendukacitakan – Muhyiddin Yassin

Siasatan 1MDB mendukacitakan – Muhyiddin Yassin
Beliau mendakwa seolah-olah ada tangan ghaib yang cuba menutup kesalahan orang lain yang menyebabkan siasatan 1MDB hampir tergendala.

Tan Sri Muhyddin Yassin membangkitkan persoalan mungkinkah ada tangan ghaib yang cuba menutup kesalahan pihak-pihak tertentu yang menyebabkan siasatan 1MDB hampir tergendala.

Ini kerana, katanya, pada awalnya kerajaan kelihatan serius menyiasat bagi menyelesaikan kemelut itu tetapi kemudian menjadi makin perlahan dan kini hampir tergendala.

“Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak berhubung skandal 1MDB,” katanya dalam kenyataan bagi menyokong titah Raja-Raja Melayu yang mahu kerajaan menyelesaikan segera isu 1MDB.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, Peguam Negara bertanggungjawab mendakwa mereka yang terlibat sekiranya hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan kesalahan di bawah undang-undang negara.

“Saya khuatir oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis.

“Adalah wajar bagi Peguam Negara tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini,” katanya.

Tambahnya, agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dahulunya terlibat dalam Pasukan Petugas Khas 1MDB juga mesti diberikan ruang seluasnya meneruskan siasatan terhadap syarikat itu hingga selesai dan menyerahkan hasil siasatan kepada Peguam Negara.

“Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Keanggotaan PAC mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa ini meneruskan siasatan mereka terhadap 1MDB.

“Amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.

“Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC. Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB,” ujarnya.

Muhyiddin turut menyuarakan kebimbangannya mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap pihak yang membuat laporan berkenaan 1MDB seperti penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA 2012).

“Seingat saya SOSMA adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan atau terrorisme.

“Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan?

“Adakah 1MDB kini telah menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi oleh pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu,” katanya.

Beliau turut mempertahankan Khairuddin yang membuat laporan terhadap 1MDB dan menyifatkan laporan yang dibuat itu bukan merupakan satu keganasan dan 1MDB bukan sebuah institusi yang kebal.
“Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya,” ujarnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers