Tak haram jatuhkan kerajaan – Mufti Perlis

Tak haram jatuhkan kerajaan – Mufti Perlis
Menjatuhkan kerajaan tidak semestinya menggunakan senjata
tetapi menerusi sistem sedia ada seperti pilihan raya atau undi di Parlimen.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendirian berbeza dengan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang berpendapat menggulingkan kerajaan adalah haram di sini Islam.

Asri sebaliknya berpendapat, Islam tidak mengharamkan perbuatan menjatuhkan sesebuah kerajaan menerusi pilihan raya atau undi tidak percaya di Parlimen yang tidak melibatkan pertumpahan darah.

Katanya, para ulama dahulu mengharamkan menumbangkan pemerintah atas alasan bimbangkan pertumpahan darah kerana membawa banyak kemudaratan kepada rakyat dan negara.

“Namun dalam dunia hari ini, sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar atau ditumbang tanpa memerlukan pertumpahan darah seperti sistem demokrasi pilihan raya ataupun undi di Parlimen atau seumpamanya,” tulisnya di Facebook.

Asri menasihatkan pengkaji politik Islam tidak boleh menjadi terlalu literalist kerana politik bukan ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah atau ditambah.

Katanya, setiap pemerintah mungkin akan ada kesilapan atau dosa yang dilakukan dan jika setiap kali pemerintah bersalah atau melakukan dosa diperangi dengan senjata, maka hancurlah keamanan masyarakat dan negara.

Kerana itu, katanya, kita boleh menentang kemungkaran pemerintah tetapi tidak memeranginya dengan senjata kerana tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan keadilan, keamanan dan hak rakyat.

Dengan memberi beberapa contoh hadis dan riwayat, Asri menegaskan, sekalipun umat Islam dilarang memerangi pemerintah dengan senjata, tetapi tetap disuruh untuk menasihati mereka dan mencegah kemungkaran dengan perkataan atau perbuatan yang tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti undi ataupun pungutan suara.

Beliau turut membidas pihak-pihak yang cuba menyamakan antara mengkritik dengan mencerca pemerintah, menyamakan antara membantah dengan memberontak dan menyamakan antara menukar pemimpin dengan memerangi kerajaan secara bersenjata.

Katanya, golongan itu mungkin keliru, mempunyai niat yang salah ataupun berlebihan menyokong pihak tertentu dengan memetik nas-nas daripada kitab silam yang mempunyai konteks dan latar politik berbeza.

“Hendaklah kita faham bahawa menukar pemimpin tidak semestinya bermaksud menukar kerajaan.
Tidak bersetuju dengan pemimpin tertentu tidak semestinya bermaksud penderhakaan kepada kerajaan secara keseluruhannya.

“Kita hendaklah membezakan konteks dan latar politik apabila hendak memberi fatwa berkaitan politik,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers