SPRM tidak lagi siasat 1MDB

SPRM tidak lagi siasat 1MDB
Agensi itu tidak dimasukkan di bawah
Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi menjadi sebahagian daripada pasukan yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di bawah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (National Revenue Recovery Enforcement Team) yang ditubuhkan oleh Jabatan Peguam Negara, ia tidak lagi membabitkan agensi itu.

Sinchew Daily melaporkan, pasukan tersebut bukan sahaja terlibat dalam siasatan kes 1MDB tetapi turut melibatkan siasatan lain.

Menurut akhbar berbahasa Cina itu, pasukan baharu itu diketuai Jabatan Peguam Negara dan dianggotai Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tugasnya adalah memulihkan hasil cukai dan aset negara serta mempunyai skop tugas yang luas termasuk siasatan ke atas 1MDB.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdul dalam temuramah melalui telefonnya dengan akhbar itu melahirkan rasa terkejut dengan penyingkiran SPRM daripada pasukan siasatan tetapi pada masa yang sama menyatakan tidak kecewa.

Beliau tidak menafikan pasukan baharu itu ditubuhkan mungkin untuk menggantikan Pasukan Petugas Khas 1MDB tetapi menegaskan bahawa siasatan oleh SPRM tidak terjejas.

“Walaupun bukan sebahagian daripada pasukan baharu, SPRM akan terus menyiasat SRC International Sdn. Bhd. dan isu RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri.

“Bagi saya, walaupun betul SPRM disingkirkan daripada pasukan baharu, ini bukan satu masalah. SPRM akan menjalankan tugas seperti biasa kerana kita badan bebas,” katanya yang juga merupakan Pemangku Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Beliau turut sempat memberi nasihat kepada pasukan baharu supaya menyerahkan kes-kes rasuah kepada SPRM jika kejadian suapan dikesan berlaku.

“Pasukan baharu mungkin lebih memberi perhatian kepada usaha memulih hasil kerajaan dan mereka mungkin berpendapat ini bukan tugas SPRM,” katanya.

Mohd. Shukri bagaimanapun berpendapat SPRM mempunyai peranan dalam menyelamatkan dana negara dan mengurangkan penyelewengan.

“Rakyat mungkin tidak nampak peranan SPRM dalam memulihkan hasil negara, tetapi hakikatnya SPRM telah melancarkan banyak operasi penguatkuasaan dan pencegahan untuk menyelamatkan dana negara yang berjumlah besar.

“Ini boleh dilihat dalam operasi melibatkan aktiviti penyelewengan berkaitan diesel, balak, pasir dan lain-lain. Kita membantu kerajaan menjimatkan hasil yang tidak terkira jumlahnya,” ujarnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers