Pekerja Nepal disamun wanita menyamar beli rokok

Pekerja Nepal disamun wanita menyamar beli rokok
Wanita itu mengugut akan mencederakan
pekerja Nepal itu jika melawan dan membuat bising.

Dua pekerja warga asing sebuah kedai serbaneka 24 jam berhadapan detik cemas apabila disamun seorang wanita bersenjatakan pisau.

Kejadian berlaku jam 12.55 malam Khamis di Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang.
Suspek yang dipercayai berusia lingkungan 30an masuk ke dalam kedai serbaneka tersebut dan berpura-pura mahu membeli rokok.

Jurucakap polis berkata, ketika seorang daripada pekerja itu hendak memberikan rokok berkenaan kepada wanita terbabit, suspek telah bertindak mengeluarkan pisau dari poketnya.

Wanita itu telah mengarahkan dua pekerja berkenaan diam serta tidak melawan.

“Suspek turut menggugut untuk mencederakan dua pekerja itu dan pada masa sama, mengarahkan mereka menyerahkan duit dari mesin wang,” katanya.

Jurucakap itu berkata, pekerja warga Nepal itu kemudian menyerahkan wang tunai sebanyak RM155 dan dua kotak rokok kepada suspek sebelum dia melarikan diri menaiki motosikal bersama rakan lelakinya yang menunggu di luar kedai.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid dalam kenyataan mengesahkan kejadian dan katanya siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, terdapat CCTV di dalam kedai serbaneka 24 jam berkenaan dan pihaknya akan meneliti untuk mengenal pasti suspek yang terlibat.

Kedua-dua pekerja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers