Faizdickie Dedikasi Anugerah Untuk Arwah Ibu

Faizdickie Dedikasi Anugerah Untuk Arwah Ibu


KUALA LUMPUR, 10 APRIL 2015: Personaliti Instagram, Faizdickie atau nama sebenarnya Mohd Nasrul Faiz Abu Azal, 27, mahu mendedikasikan kemenangan yang diraihnya di Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH 2014) baru-baru ini untuk arwah ibunya.

Terkenal dengan watak Naabella Hijabis dan Sarabanon, Faiz juga berkongsi rahsia yang dia menggunakan pakaian arwah ibunya untuk melakonkan watak parodi di laman Instagram.

Faizdickie Dedikasi Anugerah Untuk Arwah Ibu


“Alhamdulillah, anugerah yang saya menangi dalam kategori online untuk Personaliti Popular ini saya dedikasikan kepada arwah ibu saya, Allahyarhamah Rainah Md Nor. Jika dia masih ada, pastinya dia tersenyum melihat perkembangan saya.

"Untuk mereka yang tidak tahu, baju yang dipakai oleh watak Kak Leha Bunting dalam Instagram saya adalah baju milik arwah ibu. Saya juga sangat tidak menyangka yang saya dapat menewaskan nama-nama besar seperti Matluthfi, Wak Doyok, Felixia Yeap dan Nedim Nazri,” katanya memulakan perbualan.



Bermula hanya sekadar hobi untuk melakukan sesuatu yang baru dan berbeza di laman Instagram, siapa sangka pengaruh yang dibina Faiz hari ini berjaya mengumpul lebih 350,000 pengikut di laman Instagram dan nombor tersebut meningkat naik saban hari.

“Saya sendiri tidak dapat menduga, dengan watak yang saya lakonkan dalam Instagram secara suka-suka dahulu, perkara itu kini berjaya mengumpul pengikut tersendiri yang dinamakan sebagai VillagePeople. Saya sungguh tidak menyangka dengan apa yang saya lakukan menerusi Instagram memberi impak sebegini besar dalam kehidupan saya. Saya gembira berkongsi apa yang saya rasakan di laman sosial dan saya juga turut membantu apa yang saya mampu.



“Sebagai contoh, saya usahakan Derma Kilat VillagePeople untuk membantu mangsa banjir Pantai Timur tahun lalu dan syukur kerana usaha kecil-kecilan saya berjaya mengumpul hampir RM38,000 untuk digunakan dalam membeli kelengkapan sekolah untuk kanak-kanak di sana.

"Terima kasih kepada semua pengikut saya yang membantu dan menghulurkan derma dalam melaksanakan usaha tersebut,” ujar jejaka tersebut yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat Sarjana jurusan Digital Media di University of Sussex, United Kingdom.

Enggan menggelarkan pengikutnya sebagai peminat, Faiz juga mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasihnya kepada semua yang menyokong penglibatan dirinya di laman sosial sehingga berjaya membina komuniti sendiri yang dinamakan VillagePeople.




“Sejujurnya, saya berasa rendah diri dan bersyukur dengan anugerah ini. Saya tidak pernah menganggap pengikut saya sebagai peminat. Semua adalah kawan-kawan saya. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya semenjak dari hari pertama saya membuka akaun Instagram @faizdickievp sehinggalah ke hari ini. Saya doakan anda semua murah rezeki dan semoga Allah membalas jasa kalian,” katanya mengakhiri perbualan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers