alif.abubakar@kosmo.com.my Nur Safira dan Ana ialah bakat mentah industri fesyen yang masih digilap keistimewaannya.
?KALAU kita terlalu memandang tinggi orang lain, kita akan lupa dengan apa yang kita miliki. Jangan pandang rendah kemampuan diri,? kata Farhanah Abu Samah itu untuk dirinya sendiri.
Ketika dia diselubungi kekecewaan dan hampir putus asa, Farhanah atau akrab dengan nama Ana mengingatkan dirinya bahawa setiap individu itu ada keistimewaannya.
Bagi Ana, hanya ada pilihan tunggal untuk melakar kejayaan iaitu meneruskan usaha dan menitip percaya penuh pada diri sendiri.
Pada usia 26 tahun, berpandukan gerak hati dan keyakinan, Ana yang mendukung jenama Anaabu kini selesa di landasan karier pilihannya.
Gadis mana tidak mengenali Anaabu? Popularitinya di laman sosial sejak empat tahun lalu pernah meledakkan fenomena dalam kalangan fesyenista.
Bermula secara kecil-kecilan dengan menjual baju-baju terpakai ibunya secara dalam talian pada penghujung tahun 2009, dia berjaya meraih perhatian masyarakat.
Ketika itu, Ana merupakan pelajar semester akhir dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak.
Kerja sampingan ?suka-suka? itu diusahakan Ana secara solo. Kebetulan, item preloved (barangan atau pakaian terpakai) sedang menjadi trend hangat. Kesempatan itu digunakan Ana sepenuhnya. Dia yang bertanggungjawab memilih item untuk dijual, memberi idea suai padan dan menggayakan sendiri semua helaian itu.
Usai graduasi, haluan kerjaya Ana masih terarah kepada kelulusan akademiknya. Maka, menganggurlah anak kelahiran Kuantan, Pahang itu selama enam bulan sebelum dipanggil bekerja bersama Petronas.
Bagaimanapun, sepanjang tempoh menganggur itu, Ana banyak mengisi waktunya dengan berkunjung ke kedai-kedai pakaian terpakai (bundle). Di situ, dia memilih dan menjual semula helaian-helaian vintaj kegemarannya.
Mungkin pengalaman zaman kanak-kanak yang sering mengikut bapa menjual barangan terpakai di pasar malam banyak menajamkan kemahirannya memilih item terbaik.
Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila hanya dalam masa enam bulan, baju-baju yang dijual di blog Anaabu laris dan mendapat permintaan tinggi. Namun, demi masa depan lebih terjamin, Ana memilih untuk bekerja sebagai jurutera.
Meskipun mempunyai pekerjaan tetap, dia masih aktif membuka gerai di bazar-bazar pada hujung minggu. Kekerapan penyertaannya itu mempertemukan Ana dengan ramai individu yang berkongsi minat dan visi serupa.
Bermulalah perancangan bisnes pakaiannya yang bermacam-macam. Dilemanya memuncak ketika sedang menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Hanya sempat menyudahkan satu semester, Ana nekad memilih bisnes bajunya sebagai profesion sepenuh masa. Keputusan berat itu dibuat selepas menimbang tara potensi dan kata hatinya.
?Biarlah tidak menerima gaji bulanan secara tetap asalkan saya dapat melakukan sesuatu yang melapangkan dada dan membahagiakan jiwa,? katanya.
Pada peringkat awal, ibunya agak menentang dan mahu Ana bekerja dalam bidang profesional. Ayahnya pula yang kini mengusahakan kedai donat di Texas, Amerika Syarikat sangat menyokong pilihan Ana itu.
Berbekalkan modal hasil jualan di bazar-bazar yang disertai sebelum ini dan bantuan daripada keluarga, Ana membina jenamanya secara berperingkat-peringkat sehingga dia berjaya membuka kedai pertamanya pada Januari tahun lalu.
Cita rasa
Pencapaian berperingkat-peringkat yang dilaluinya menyebabkan Ana tidak menyesal dengan pilihannya. Risiko yang diambil ketika berhenti kerja dulu dirasakan sangat berbaloi.
Biarpun bermula agak perlahan, lama-kelamaan bisnesnya semakin stabil. Baginya, setiap usaha memerlukan kerja keras dan jika dilaksanakan bersungguh-sungguh, insya-Allah pasti berjaya.
?Sekarang saya fokus kepada pengukuhan imej termasuk penjenamaan semula. Perancangan kini lebih kepada membina label dengan rekaan sendiri. Jika dulu saya hanya bergantung kepada pakaian yang dibeli dari luar, kini saya sudah berjinak-jinak dalam rekaan pakaian.
?Item yang ditawarkan juga tidak mengikut trend semasa kerana saya lebih gemar mewujudkan gaya tersendiri. Anaabu adalah tentang keunikan dan item di sini dipilih berdasarkan cita rasa peribadi saya.
?Seronok bila melihat orang lain mengenakan idea saya dalam persalinan mereka. Matlamat Anaabu juga sebenarnya condong terhadap penciptaan gaya hidup dengan produk yang dihargai orang,? penuh isi bicara Ana ketika ditemui Stailo di butiknya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu juga tidak mengehadkan itemnya kepada kelompok tertentu sahaja. Setiap item tawaran Anaabu bebas dieksperimentasi wanita tanpa dibatasi agama, bangsa mahupun usia.
Kesederhanaan menjadi kunci gaya label Anaabu. Item yang diperbaharui sebulan sekali di butiknya itu turut meliputi helaian ringkas seperti skirt fabrik kapas, kemeja berpotongan besar dan seluar berpotongan longgar/bercawat geleber yang merupakan antara helaian paling popular.
Inisiatif bergelar pereka kepada pakaian labelnya sendiri dimulai dengan kolaborasi bersama sepupunya, Nur Safira Syukri. Projek bermusim itu menyaksikan penghasilan dua rekaan dinamakan Eleanor dan Heidi di bawah koleksi AnaabuxSafiraSyukri.
Eleanor menampilkan skirt berpotongan duyung menggunakan material kapas bersulamkan lapisan dalaman (lining) untuk rekaan scallop, leaves dan classic.
Skirt Eleanor turut didatangkan dalam material broked dan labuci bersama variasi warna ceria seperti hijau dan ungu. Skirt Heide pula ditumpukan kepada rekaan anggun dengan potongan pinggang tinggi bersama baju ringkas menggunakan rona tanah.
Koleksi paduan Ana dan Safira itu dijual secara berasingan dengan skirt Eleanor ditawarkan pada harga RM249 manakala skirt Heidi dijual pada harga RM169.
Kesemua item itu boleh didapati di butik Anaabu atau dibeli secara dalam talian menerusi Fashion Valet. Item lain Anaabu pula ditawarkan pada lingkungan harga RM60 hingga RM150 melingkungi sandal, baju, skirt dan seluar.
Misi Safira
Sementara itu, Nur Safira yang kini aktif mempromosikan gelaran eponimnya, Safira Syukri RTW juga giat membina nama di persada fesyen tempatan.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu sebenarnya wajar diberi perhatian. Kejayaan awalnya adalah selepas memenangi tempat kedua pertunjukan fesyen pelajar tahun akhir jurusannya pada Januari lalu.
Langkahnya terus maju selepas menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2014 di bawah kumpulan UiTM8 pada Jun lalu.
Nur Safira kini masih membentuk dirinya sebagai pereka muda dan sedang berkhidmat sebagai konsultan imej di sebuah syarikat media tanah air. Begitupun, dia tetap aktif mereka helaian sedia pakai yang mempunyai perlambangan dan karakteristik tersendiri.
Memilih untuk bekerja sepenuh masa sebagai konsultan imej memberikan peluang kepada anak sulung daripada tiga adik-beradik itu untuk membina kenalan di pelbagai peringkat.
Ceritanya, dunia sebagai perunding tata gaya sangat berbeza dengan pereka fesyen. Profesion tetapnya kini terarah kepada keperluan komersial manakala pereka fesyen lebih tertumpu terhadap permintaan pelanggan.
Mengakui bahawa kerjayanya kini sangat membantu dalam pembinaan kemahiran industri fesyen, Nur Safira berasa beruntung kerana dapat merasai pengalaman dalam dua lapangan yang berbeza.
Bagaimanapun, mereka pakaian masih menjadi pilihan hatinya. Justeru, dia sanggup meluangkan hari-hari cutinya menghasilkan rekaan baharu dan bertemu klien semata-mata mahu memperkenalkan jenamanya ke peringkat lebih tinggi.
?Jenama saya dalam proses pembangunan dan masih mengenal pasti sasarannya. Arah tuju telah saya ketahui dan disebabkan itu, label saya banyak menumpukan kepada helaian kasual khususnya pakaian sedia pakai.
?Rekaan sarat bukanlah fokus saya dan jika adapun ia akan dihasilkan secara minimum. Namun, perincian eksklusif itu tetap ada,? kongsi Nur Safira.
Biarpun masih hijau dalam industri ini, Nur Safira sudah menetapkan pencapaian besar dalam kariernya.
Melihat kepada industri pakaian sedia pakai berkembang dan diterima kelompok besar masyarakat Malaysia adalah keinginan dominan wanita berasal dari Rawang, Selangor ini.
Nur Safira berpendapat, mungkin disebabkan kos dan kekangan material, industri pakaian sedia pakai yang diusahakan pereka tempatan kurang mendapat sambutan.
Orang kita dilihat hanya menggunakan khidmat pereka fesyen apabila mahu menempah pakaian eksklusif untuk resepsi perkahwinan atau perayaan.
Pakaian harian ciptaan pereka tempatan kurang diberi perhatian. Tidak dinafikan, industri pakaian sedia pakai sudah pun membangun, cuma Nur Safira mahukan ia lebih maju pada masa akan datang.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.