Estetika fesyen Barbie

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
diyanatul.atiqah@kosmo.com AKSESORI kecil seperti beg tangan menjadi pelengkap gaya patung Barbie.

BENANG perak ditenun untuk membentuk corak bunga dengan jahitan yang kemas.Namun, rekaan itu bukan disarungkan di badan gadis-gadis Melayu tetapi pada boneka kecil berketinggian 0.29 meter.

Lebih menarik, di bahagian tengah potongan kebaya Melayu berkain songket itu diperincikan lagi dengan aksesori kerongsang kerawang tiga serangkai atau dokoh sebagai pelengkap gaya tradisional.

Pengumpul patung Barbie, Ilya Qastalanni, 26, berkata, boneka dengan gaya klasik Melayu itu ditemuinya secara kebetulan di kedai menjual barang-barang lama.

?Saya agak bernasib baik kerana secara tidak sengaja menjumpai koleksi patung Barbie berpakaian songket asli berwarna merah dan berbenang perak ketika mengunjungi sebuah kedai terpakai di Kuala Lumpur.

?Tenunan coraknya sama seperti songket biasa tetapi dalam saiz kecil yang disediakan khas untuk boneka ini. Perincian yang lain termasuk dokoh perak dan kasut sarung berwarna hitam.

?Bagi saya, pakaian ini mempunyai nilai estetika yang tersendiri kerana ia merupakan hasil tangan yang halus kerana setiap perincian pada busana saiz biasa berjaya dipindahkan dalam bentuk 1,000 kali ganda lebih kecil.

?Corak tenunan pakaian patung Barbie ini memerlukan pelbagai teknik dan peralatan,? katanya yang membawa beberapa koleksi patung Barbie miliknya ketika sesi temu bual di pejabat Kosmo! di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ilya berkata, dia mengumpul patung Barbie Mattel, Inc. sejak tahun 2012 dan kini mempunyai lebih 30 koleksi edisi terhad yang dibelinya menerusi laman web dan butik-butik Barbie.

?Saya meminati fesyen Barbie sejak kecil tetapi hanya mula mengumpul selepas melayari laman web Barbie Collector dan Instagram Barbie Style. Setiap rekaan baju yang dipamerkan mempunyai fokus dalam setiap perincian termasuk aksesori seperti beg tangan, selendang, topi, kamera, bagasi, majalah dan kasut.

?Nilai estetika patung ini terletak pada bentuk muka patung. Koleksi yang paling saya suka ialah patung pasangan Barbie iaitu Ken edisi 1960 yang dikeluarkan semula sempena ulang tahun ke-50 Barbie pada tahun 2009 dan Barbie Malibu edisi 1971.

?Patung-patung ini mempunyai bentuk wajah dan rambut dengan potongan klasik. Rekaan dan warna baju juga memiliki ciri-ciri vintaj,? jelasnya yang mempunyai puluhan koleksi pakaian dan aksesori Barbie.

Antara koleksi lain miliknya ialah patung Barbie berambut perang yang membawa karakter sebagai pegawai perhubungan awam. Patung itu dipakaikan dengan potongan kot merah jambu fabrik bulu kambing biri-biri yang dipadankan dengan singlet hitam berkilat di bahagian dalam dan skirt hitam paras atas lutut.

Boneka itu turut dilengkapkan dengan aksesori subang berwarna emas dan komputer riba.

Inspirasi

Tambahnya, sebagai penggemar patung Barbie, dia turut mendapat inspirasi padanan pakaian harian atau untuk ke majlis-majlis istimewa daripada reka gaya yang dibuatnya pada boneka pada waktu lapang.

?Sesetengah orang mungkin beranggapan bahawa patung Barbie hanya boneka permainan buat kanak-kanak tetapi bagi saya, selain mengambil kira nilai estetik rekaan pakaian, patung ini menjadi sumber inspirasi dalam penggayaan penampilan.

?Gaya yang direka pada patung Barbie boleh diguna pakai dalam penampilan harian kerana baju-baju dan aksesori mini ini diperbuat daripada fabrik untuk pakaian sebenar seperti jaket kulit, jaket bulu kambing biri-biri, singlet atau baju likra dan denim,? katanya yang bermula sebagai pengumpul patung Barbie edisi Black Label.

Kini, kebanyakan pengamal fesyen turut menggunakan patung Barbie sebagai sumber inspirasi dalam menghasilkan rekaan sebelum diperagakan di pentas peragaan.

Patung Barbie yang mempunyai potongan tubuh badan dan muka seakan-akan model sebenar memudahkan pereka fesyen untuk menggambarkan setiap rekaan apabila digayakan oleh manusia biasa.

Jenama mewah pakaian, aksesori dan minyak wangi dari Itali, Moschino membuat hampir keseluruhan koleksi untuk musim luruh/panas 2015 yang dipentaskan di Persembahan Fesyen 2015 di Milan, Itali pada 18 September lalu mengikut saiz mini patung Barbie.

Kepuasan

Menurut Ilya, keseronokan sebagai pengumpul patung Barbie bukan sahaja mencetuskan idea-idea baharu dalam penggayaan, malah memiliki perincian dan rekaan ditawarkan oleh pereka-pereka fesyen boneka juga satu kepuasan. Selain itu, busana yang dihasilkan mirip pakaian karpet merah yang dipakai ikon kesayangan.

Terkini, koleksi Barbie 2014 di Barbie Collector menawarkan rekaan dres polos Dragon Robe dengan corak dua ekor naga di bahagian badan dan ombak pada potongan duyung yang digayakan oleh aktres China, Fan Bingbing pada Festival Filem Cannes 2010.

Bentuk wajah, warna dan gaya rambut patung Barbie itu turut diubah menyerupai Bingbing pada hari tersebut.

Koleksi Patung Barbie Karl Lagerfeld 2014 oleh pereka Robert Best pula habis dijual dalam tempoh beberapa jam selepas dilancarkan oleh Mattel.

Anak patung Lagerfeld mengenakan jaket hitam yang disesuaikan dengan kemeja putih berkolar tinggi dan seluar jean berwarna hitam.

Patung ini turut dilengkapi aksesori yang memainkan peranan penting sebagai ikon Lagerfeld seperti tali leher, kaca mata hitam, kasut but hitam paras buku lali, sarung tangan hitam dan beg tangan kulit hitam dengan hiasan logam perak.

Koleksi edisi terhad di laman web itu turut menampilkan pakaian watak Scarlett O?Hara dan Rhett Butler dalam filem Gone with the Wind oleh Margaret Mitchell. Selain itu, pereka fesyen terkenal seperti Vera Wang, Givenchy, Versace, Dolce & Gabana dan Gucci pernah membuat pakaian eksklusif untuk patung Barbie.


View the original article here

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers