Kasut potongan kaki wanita Asia

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARIA
diyanatul.atiqah@kosmo.com.my

Mengikut keluarga yang bekerja ke luar negara iaitu Bosnia pada tahun 2000 memberi pelbagai pengalaman menarik dan manis kepada Nor Hidayah Hassan.

Walaupun ketika itu baru berusia 14 tahun, menetap di kejiranan berhampiran kilang kasut selama lima tahun telah membuka hatinya untuk mendalami teknik pembuatan kasut.

Ini kerana, pekerja-pekerja kilang itu merupakan mereka yang mahir dalam menghasilkan kasut berkualiti tinggi untuk jenama antarabangsa.

Lebih mesra dipanggil Hidayah, selama lima tahun di Bosnia, dia fasih berbahasa Croatia dan Serbia memudahkan pergaulan dengan masyarakat di sana.

?Saya teruja melihat para pekerja itu yang membuat kasut secara manual dengan teliti dan halus. Kemampuan mereka menghasilkan kasut yang cantik telah menimbulkan minat saya untuk mendalami bidang tersebut,? katanya yang kini berusia 27 tahun.

Hidayah kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Perakaunan dan Perbankan di England pada tahun 2005. Di sana, dia berpeluang menjelajah benua Eropah dan pada masa sama membeli pelbagai kasut untuk dipakai sendiri.

Formula

Ekoran banyak membeli kasut termasuk rekaan kasut tumit tinggi dan rata daripada pelbagai jenama terkenal, dia akhirnya mula mengetahui kelebihan dan keunikan sesuatu rekaan kasut.

Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu telah menemui formula untuk menghasilkan kasut yang cantik dan selesa dipakai. Akhirnya, dia nekad menampilkan jenama kasut impiannya, Cipela Couture (Cipela) sekembalinya ke tanah air pada tahun 2011. Perkataan Cipela dalam bahasa Croatia dan Serbia bermaksud kasut.

?Kebanyakan pereka fesyen di Barat tidak mengambil berat mengenai sifat semula jadi bentuk kaki manusia. Akibatnya, ramai yang menderita kesakitan ketika menyarungkan kasut yang cantik semata-mata untuk kepuasan diri dan mendapat pujian orang ramai.


HIDAYAH menunjukkan dua rekaan kasut eksklusif yang menggunakan fabrik kain songket Terengganu (kanan) dan batik asli Kelantan.

?Sesetengah tapak bahagian dalam kasut tumit tinggi pula keras kerana dihasilkan menggunakan mesin berbanding kasut buatan tangan yang mempunyai tekstur lebih lembut ekoran kesan lenturan ketika proses pembuatannya. Inilah rahsia kejayaan Cipela di pasaran Malaysia,? jelas Hidayah ketika ditemui di butiknya di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, kebanyakan kedudukan jari kaki wanita Malaysia adalah terbuka kerana kebiasaan memakai selipar sejak kecil. Keadaan itu menyebabkan anak jari kaki terkeluar dari tapak kasut setiap kali memakai sandal terbuka. Pemandangan itu secara tidak langsung menggagalkan pesona seorang wanita. Wanita Asia sebaik-baiknya menggayakan kasut dengan bahagian hadapan tertutup supaya menampakkan kekemasan jari kaki.

Berpandukan kepada kesesuaian itu, kebanyakan kasut Cipela direka dengan bahagian hadapan tertutup dan tapak dalam kasut digunakan berbentuk D yang lebih lebar.

Selain itu, beberapa rekaan yang dihasilkan pengusaha muda itu menggabungkan elemen seni khazanah kontemporari. Dua rekaan eksklusif Cipela ialah kasut tumit tinggi menggunakan fabrik kain songket Terengganu dan kasut bertapak tebal batik asli Kelantan.

Gabungan istimewa tersebut harganya mencecah ribuan ringgit kerana ketulenan fabrik dan kualiti bahan digunakan. Kedua-dua kasut dengan ketinggian tapak empat inci itu turut dihiasi tiga butir batu Swarovski dengan setiap satunya mencecah harga RM300.

Hidayah memberitahu, signatur Cipela terletak pada penggunaan lapisan kulit kambing yang diselitkan dalam kebanyakan rekaannya. Warna-warna fabrik yang digunakan juga terdiri daripada tona terang yang lebih menonjol.

Menghasilkan produk terbaik, Hidayah menyediakan perkhidmatan tempahan kasut mengikut rekaan dan corak yang dikehendaki pelanggan. Ujarnya, proses paling rumit adalah memindahkan lakaran atas kertas kepada proses pemotongan paten dan menjahit.

?Kebanyakan corak dan rekaan diilhamkan daripada karakter orang di sekeliling saya. Sebagai contoh, rekaan polka dot melambangkan karakter segelintir teman rapat yang suka berdrama. Saya juga ada membuat sepasang kasut bertapak tebal inspirasi daripada penyanyi dan ikon kesayangan saya iaitu Yuna. Bahagian tapak tebal kasut ini mempunyai sentuhan bintik-bintik kecil yang berwarna-warni sesuai dengan perjalanan karier beliau.

Antigelincir


Cipela menawarkan lebih 30 rekaan kasut mewah.

?Namun, melakar idea pada sekeping kertas lebih mudah berbanding menghasilkan rekaan sebenar. Malah, proses menjadi semakin rumit jika rekaan terdiri daripada tali bersilang yang perlu dipindahkan kepada fabrik untuk potongan sebenar,? jelasnya yang telah menghasilkan kira-kira 40 rekaan kasut mewah sejak tiga tahun lalu.

Sehingga kini, Cipela menawarkan koleksi kasut untuk kegunaan harian, acara petang, kasut pengantin dan aktiviti santai menerusi Cipela Espadrilles. Bagi penggayaan setiap hari, fabrik kulit kambing dan tapak kasut antigelincir diketengahkan. Antaranya, kasut Zana Peep-toe, kasut rata Hana 2.0, kasut tumit rendah Elayza, polka dot Wani bertali belakang dan kasut bertapak tebal Paris. Kebiasaannya, kasut bertapak tebal dicadangkan untuk acara-acara petang kerana ia cantik apabila dipadankan dengan dres atau skirt. Harga kasut bermula dari RM200.

Bagaimanapun, kasut bertapak tebal dengan rekaan kerongsang kristal di bahagian hadapan kasut sesuai digayakan untuk acara persandingan. Kasut tersebut dibuat menggunakan fabrik mewah satin dan pelapik kulit kambing. Sepatu elegan itu disediakan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan ros merah jambu pada harga RM320 sepasang.

Sementara itu, kasut Cipela Espadrilles ditawarkan dalam empat rekaan iaitu kasut rata Crochet Espadrilles, kasut tapak tebal Espadrilles, Ribbon Denim Espadrilles dan kasut Espadrille bercorak untuk lelaki. Kasut ini dijual pada harga bermula dari RM68 hingga RM78.

Di samping menyediakan puluhan rekaan kasut buatan tangan, Hidayah juga memperkenalkan barisan pakaian Hidy Collection menggunakan fabrik kapas dan linen sebagai pelengkap penampilan golongan wanita.

?Hidy Collection dibahagikan kepada kategori iaitu HidyEssence yang merupakan koleksi tunik asas, tunik dengan gandingan corak dan rekaan fabrik (HidyFusion), tunik edisi terhad (HidyExclusive) dan tunik dengan rekaan yang berpadanan potongan badan wanita bersaiz besar (HidyLoveYourCurve).

?Kesemua rekaan baju ini menggunakan konsep kurta dengan elemen sulaman di bahagian leher dan tangan. Beberapa pakaian turut diperincikan dengan sulaman bersegi dan bunga-bungaan,? jelasnya rekaan-rekaan tersebut ditawarkan pada harga antara RM80 sehingga RM350 sehelai.

Rekaan yang dihasilkan oleh Hidayah turut mendapat permintaan pembelian secara dalam talian daripada pelanggan luar negara seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.


View the original article here

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers