Anjur Tayangan Perdana Sendiri, Produksi Apokalips X Sahkan Tiada Krisis

Anjur Tayangan Perdana Sendiri, Produksi Apokalips X Sahkan Tiada Krisis

Anjur Tayangan Perdana Sendiri, Produksi Apokalips X Sahkan Tiada Krisis


Walaupun terpaksa menanti hampir empat tahun bagi membolehkan filem Apokalips X ditayangkan di pawagam, namun apabila tiba masa dan ketika yang dinantikan itu pula, negara kita telah ditimpa pelbagai musibah antaranya kes kehilangan MH370.

Wakil Murai pada minggu lalu telah mengikuti tayangan filem Apokalips X bersama beberapa orang pelakon serta orang dibelakang tabir filem tersebut. Mereka ini mengambil inisiatif sendiri menganjurkan tayangan perdana secara sendiri tanpa dihadiri oleh pengarah Mamat Khalid dan wakil produser Tayangan Unggul/Astro Shaw Sdn Bhd.

Wujud persoalan adakah kelewatan dan hal yang berlaku kepada filem Apokalips X yang beberapa kali menunda tarikh tayangan perdana kerana terdapat krisis dalaman? Malah ia dianjurkan secara tidak rasmi dan tidak dihadiri oleh orang penting seperti pengarah dan produser. Tampil menjelaskan hal ini Raja Mukhriz, pengarah fotografi dan Noozwan Wahab pengurus produksi mewakili kru produksi lain untuk filem ini.

“Sebenarnya tiada sebarang masalah yang timbul tentang filem ini. Sebenarnya kita memang patut adakan tayangan perdana untuk filem ini dan semua pun telah dibincangkan dengan semua pihak yang terlibat.

“Tetapi disebabkan kes MH 370, Astro Shaw/Tayangan Unggul tiba-tiba terpaksa menarik balik penganjuran tayangan perdana itu sebagai menghormati kes yang besar melanda negara.

“Nak dijadikan cerita pula, produser kami Gayatri Su-Lin Pillai telah kehilangan ayahnya semalam dan sekaligus tidak dapat hadir walaupun untuk majlis tidak rasmi pada malam ini,” ujar Raja Mukhriz yang merupakan pengarah fotografi dan juga suami kepada Sharifah Shahora ini.

Masa empat tahun yang diambil oleh filem ini turut menjadi pertikaian namun begitu ia disifatkan berbaloi oleh Noozwan Wahab selaku pengurus produksi kerana hasil yang mereka tonton di layar perak memuaskan hati mereka.

“Sebab mengapa Apokalips X lambat ditayangkan adalah pertamanya disebabkan penghasilan CGI tersebut mengambil masa yang lama. Produksi ini menggunakan khidmat anak tempatan untuk mendapatkan seperti mana yang dimahukan iaitu dalam bentuk komik Jepun atau manga.

“Selama 30 hari masa yang diambil ketika penggambaran filem ini, kami menjadi satu keluarga besar dan disebabkan itu kami mahu juga buat acara malam ini untuk mengimbau semula kenangan empat tahun lalu.

“Idea acara mala mini ini memang datang daripada kru dan juga pelakon yang mahu bersama-sama menonton di layar perak. Jadi kami memilih tayangan pertama di WangsaWalk Mall ini untuk menjadi antara yang terawal menonton Apokalips,”ucap Noozwan yang mewakili Naga VXS yang turut terlibat menerbitkan filem ini.

Antara lain Raja Mukhriz turut mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk pergi menonton serta memberi peluang kepada filem tempatan. Apokalips X merupakan sebuah kisah fantasi Mamat Khalid tentang perpaduan dan Malaysia dan penuh mesej yang ingin disampaikan.

“Pada saya Mamat Khalid memang seorang pengarah yang mempunyai karisma tersendiri. Daripada idea jalan cerita yang segar dia garapkan dengan kemas dalam bajet cuma kurang daripada RM1.5 juta, saya memang  mengagumi hasil filem aksi pertama Mamat Khalid,”tambah Raja Mukhriz yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Tujuh.

Apokalips X yang ditayangkan sejak 3 April lalu di semua pawagam seluruh negara menampilkan barisan pelakon seperti Farid Kamil, Peter Davis, Dayana Roza, Miera Liyana,, Iqram Dinzly, Pekin Ibrahim, Adam (AF2), Dazrin Kamaruddin dan Jehan Miskin.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers