Nabil Ahmad Dedah Cabaran Tampil Solo

Nabil Ahmad Dedah Cabaran Tampil Solo

Nabil Ahmad Dedah Cabaran Tampil Solo

Walaupun hadir sebagai satu-satunya peserta solo di kalangan peserta berkumpulan dalam persaingan Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM2013), Nabil Ahmad tetap tampil memukau penonton yang menonton secara langsung program tersebut di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan juga di rumah. 

Persembahan Nabil yang dilihat konsisten saban minggu juga menjadikan Nabil antara peserta kegemaran dalam MLM2013. Bertemu dengan juara Raja Lawak musim kedua ini usai persembahan mingguan MLM2013 di Auditorium MBSA pada Jumaat, dia menceritakan cabarannya tampil secara berseorangan di pentas MLM2013.

"Nak kata saya makin lama makin bagus, saya tidak setuju sangat dengan kenyataan tersebut. Saya rasakan, bila saya berseorangan dan melakukan 'stand up comedy', perkara itu nampak 'okay' dan mendapat maklumbalas yang baik daripada orang yang menonton. Saya rasa apa yang saya bawa akan jadi lebih kelakar jika penonton sendiri memberikan sokongan dalam setiap komedi yang saya tampilkan di atas pentas," ujar pengacara rancangan 'Meletop' ini.

Tambah Nabil, tujuan asalnya untuk tampil secara solo tahun ini selepas dia tampil bersama Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik menerusi kumpulan Boboi pada tahun lalu adalah kerana ingin membuka minda masyarakat di luar sana bahawa kita ada pilihan lain selain tampil secara berkumpulan dalam bidang komedi ini.

"Mungkin di masa akan datang, akan ada pertandingan berbentuk lawak yang melibatkan penyertaan peserta secara solo sahaja. Bagi saya, lawak haruslah dinilai daripada kualiti, bukan populariti. Tak mengapa jika perkara tersebut kurang lawak, asalkan ada usaha sendiri dan adanya perubahan yang ditampilkan di setiap persembahan. Bidang 'stand up comedy' di Malaysia boleh dikatakan kurang berkembang berbanding di negara jiran seperti Indonesia. Diharap pada masa akan datang bidang 'stand up comedy' di Malaysia akan lebih berkembang maju," tutur Nabil lagi.

Dalam persaingan Minggu Kelapan MLM2013, kumpulan Sepahtu mengungguli carta dengan mengumpul 65 mata. Nabil berjaya berada di tempat kedua dengan mengumpul 64 mata. Bocey dan Comey berkongsi tempat kerana masing-masing mengumpul 62 mata. Kumpulan Shiro, SYJ dan Wala mendapat tiga tempat tercorot dalam persaingan itu tetapi tiada penyingkiran yang berlaku pada minggu kelapan. MLM2013 bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Warna, setiap Jumaat jam 10.00 malam.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers