Orang Dewasa Kena Buli Dengan Ajiboy Yang Bijak!

Penerbit : Mejar (K) David Teo

Pengarah : Ismail Bob Hashim

Skrip : Meor Shariman Meor Shafie

Pelakon : Raykarl Iskandar, Angah Raja Lawak, Zalif Sidek, Epy Raja Lawak, Adiba Yunus

Tayangan : 8 November 2012

Terbitan : Metrowealth

Sekali Imbas

Orang Dewasa Kena Buli Dengan Ajiboy Yang Bijak!


Filem ini menampilkan pelakon cilik, Raykarl Iskandar yang baru berusia 7 tahun sebagai peneraju utama dengan membawa watak Ajiboy. Sepanjang filem ini, penonton dapat melihat keletahnya yang licik, bijak dan comel. Secara keseluruhan filem ini sesuai ditonton khas oleh kanak-kanak kerana selain dapat melihat keletah Raykarl, suasana dan lokasi penggambarannya sangat menarik iaitu di Taman Tema Air A Famosa Water World Melaka.

Ulasan Penuh

Sebagai penulis yang merupakan golongan dewasa terus-terang filem ini pada mulanya sukar untuk diterima bukan kerana heronya adalah seorang kanak-kanak kecil yang baru berusia 7 tahun tetapi selepas melihat bagaimana dua orang watak dewasa yang dilakonkan oleh Zalif Sidek dan Epy Raja Lawak diperbodohkan begitu sahaja oleh kanak-kanak yang bernama Ajiboy.

Secara keseluruhan , konsepnya mungkin seakan-akan filem Amerika yang berjudul Home Alone yang dibintangi pelakon Macaulay Culkin yang ketika itu baru sahaja berusia 8 tahun. Dalam filem itu juga terdapat dua orang dewasa yang cuba menculiknya tetapi tidak berjaya kerana diperbodohkan serta ditewaskan dengan begitu sahaja oleh Macaulay.

Namun, berbeza dengan filem arahan Bob Hashim ini, Zalif Sidek dan Epy Raja Lawak gagal memperdayakan Raykarl kerana telah diperbodohkan serta dikawal atau diarahkan dengan sewenang-wenangnya oleh pelakon kecil itu. Semuanya gara-gara Ajiboy (Raykarl) diberi kuasa oleh bapanya yang juga pemilik taman tema air tempat mereka bekerja untuk menjaga dan menguruskan tempat itu sedangkan Zalif dan Epy hanya bekerja di taman tema air tersebut,

Ajiboy berbuat demikian selepas menyedari mereka (Zalif dan Epy) yang diberi jawatan Head Supervisor sentiasa mengambil kesempatan atas jawatan yang mereka pegang dengan memberikan barang -barang percuma untuk menarik perhatian pengunjung wanita serta curi tulang.

Lakonan Zalif Sidek dan Epy Raja Lawak penulis boleh sifatkanseperti badut kerana lawak jenaka mereka boleh dikatakan agak bodoh dan sukar untuk penonton dewasa menerimanya. Malah cara mereka dibuli oleh Aijiboy di dalam filem ini juga seperti agak keterlaluan dan tiada logiknya selepas mereka hanya menurut sahaja perintah 'bos kecil' itu tanpa membantah.

Di dalam filem ini juga, penulis seperti tidak boleh bayangkan di mana logiknya kanak-kanak yang berusia 7 tahun diarahkan untuk menguruskan taman tema sebesar itu, tetapi itulah yang terjadi di dalam filem ini.

Walau bagaimanapun , penulis faham mungkin pengarah mahu humor yang disampaikan di dalam filem ini lebih ringan dan mudah difahami oleh penonton kecil yang hanya mahukan hiburan semata-mata tanpa memikirkan logikanya.

Sebagai peneraju utama filem, Raykarl harus diberi pujian kerana setiap keletah dan aksinya sangat mencuit hati apatah lagi dia merupakan seorang budak yang comel dan petah berkata-kata. Meskipun ada kekekokkan serba-sedikit dalam lakonannya, namun sebagai penonton penulis faham keupayaannya.

Selain itu, penulis nampak pengarah cuba hendak sesuaikan filemnya untuk tontonan seisi kelaurga apabila cuba menyelitkan elemen kekeluargaaan serta elemen cinta di dalamnya apabila ayah kepada Raykarl yang berstatus duda iaitu pelakon Angah Raja Lawak bercinta dengan pekerjanya yang dibintangi oleh pelakon baru iaitu Adiba Yunus yang juga seorang ibu tunggal.

Namun chemistry antara Angah Raja Lawak dan pasangannya agak kurang menjadi, malah lakonan serius yang ditonjolkan oleh Angah sebagai lelaki yang agak macho di dalam filem ini tidak sesuai kerana penonton sudah biasa dengan perwatakannya yang kelakar.

Kesimpulannya penulis tidak dinafikan filem ini sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga kerana ia punya unsur komedi serta elemen kekeluargaaan yang diterapkan.

Sinopsis

Secara ringkas Ajiboy mengisahkan seorang budak kecil yang genius bernama Ajiboy (Raykarl). Dia diamanahkan Fauzan (Angah Raja Lawak) untuk menjaga dan menguruskan taman tema air milik ayahnya. Namun kemampuannya telah diragui Mat Saja (Zalif Sidek) dan Cumi (Epy Raja Lawak) yang bekerja di situ sehingga mereka merancang untuk menjatuhkan kanak-kanak itu.

Mat Saja dan Cumi diturunkan pangkat dan sering diarahkan melakukan kerja -kerja pembersihan di sekitar Taman Tema tersebut. Hal tersebut telah menyebabkan mereka tekad untuk melakukan satu pengkhianatan.

Muslihat serta perancangan dua pekerja itu untuk mengenakan Ajiboy selalu sahaja gagal kerana budak kecil itu lebih bijak berbanding mereka. Namun, mereka tidak pernah putus asa berusaha untuk melawan kebijaksanaan kanak-kanak itu.

Ajiboy, meskipun masih kecil mempunyai satu lagi amanah yang amat besar yang harus ditunaikannya. Arwah ibu Ajiboy telah memintanya untuk mencarikan isteri untuk ayahnya supaya mereka tidak akan merasa sunyi tanpanya.

Ajiboy yang berkenan pada Cik Nisa telah cuba untuk menyatukan mereka namun setelah mengetahui bahawa Cik Nisa sudah mempunyai anak, Irfan pantas beranggapan yang Cik Nisa sudah mempunyai keluarganya sendiri. Mampukah Irfan mencari calon isteri untuk Fauzan? Adakah Mat Saja dan Cumi akan teruskan niat mereka untuk mengkhianati Fauzan? Dapatkah Ajiboy menyelamatkan Taman Tema tersebut?

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers