Joseph Salang: Isu Royalti Pelakon Bakal Berakhir 2013

KUALA LUMPUR, 12 DIS 2012: Kemelut berhubung bayaran royalti kepada penggiat seni lakonan bakal berakhir melalui syarikat Malaysian Screen Actor Guild Berhad (MSAGB) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Joseph Salang berkata, melalui syarikat itu, kadar bayaran kepada pelakon termasuk kaedah royalti dapat dikaji dan diubahsuai agar selari dengan tuntutan serta keperluan semasa.

Selain menjadi landasan terbaik dalam soal tuntutan royalti pelakon, katanya MSAGB juga memberi manfaat kepada perkembangan industri perfileman dan penerbitan rancangan televisyen secara keseluruhannya.

"Saya berharap melalui penubuhan MSAGB, ia dapat mewakili para pelakon, penulis skrip, dan keseluruhan rantaian dalam penerbitan supaya mendapat manfaat imbuhan atau royalti hasil daripada karya mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis dialog 'Kesedaran Hak Cipta Intelek Dalam Kalangan Seniman Malaysia' di sini hari ini.

Joseph Salang: Isu Royalti Pelakon Bakal Berakhir 2013


Beliau berkata melihat kepada perkembangan industri muzik yang melibatkan pembayaran royalti, para pelakon yang kini mencecah 5,000 orang juga berhak memperjuangkan hak untuk memperoleh bayaran dan royalti yang setimpal.

Bagaimanapun, beliau berkata KPKK tidak boleh campur tangan dalam kegiatan syarikat itu melainkan mereka memerlukan orang tengah untuk menjaga atau memantau syarikat.

"Pemantauan itu terpulang kepada keadaan, sekiranya ia melibatkan pemberian dana daripada kementerian maka kementerian akan membuat pemantauan tetapi sekiranya tidak, kementerian hanya akan menyumbang dari segi buah fikiran dan idea bila mana diperlukan," katanya.

Selain itu, katanya penguatkuasaan dan pemantauan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan hak cipta seni lakonan para pelakon terpelihara kerana amat menyulitkan untuk membayar royalti jika hak cipta tersebut dicuri atau diguna pakai oleh orang perseorangan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi berkata, Seniman ketika ini dalam usaha mendapatkan lesen daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk memudahkan syarikat tersebut menjalankan kutipan royalti.

"Persatuan sememangnya sudah mengambil inisiatif menubuhkan syarikat MSAGB yang juga telah diluluskan supaya melalui syarikat ini kutipan royalti untuk para pelakon dapat dilakukan kerana ini adalah hak dan duit pencen mereka," katanya.

Mengenai dialog, beliau berkata ia dianjurkan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak dengan kerjasama Seniman bertujuan memberi kesedaran kepada penggiat seni lakonan mengenai harta intelek, hak cipta dan royalti bagi menjamin kelangsungan perjuangan seni mereka.

Di samping itu, dialog berkenaan juga mewujudkan kepekaan tentang hak yang perlu diperoleh agar mereka tidak dieksploitasi oleh pihak lain, katanya. - Bernama

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers