3 Acara Di Istana Budaya Tetap Dijalankan

3 Acara Di Istana Budaya Tetap Dijalankan

3 Acara Di Istana Budaya Tetap Dijalankan


Meskipun beberapa siri konsert secara terbuka di negara ini telah dibatalkan bagi menghormati insiden kehilangan pesawat MH370, namun 3 acara besar yang bakal diadakan di Istana Budaya tetap berjalan seperti yang direncanakan.

Malam ini, Istana Budaya akan menjadi saksi apabila puluhan bintang sukan bertaraf dunia akan berhimpun bagi menjayakan majlis anugerah gilang-gemilang, Laureus World Sports Awards yang turut disertai ramai selebriti popular tanah air.

Manakala penyanyi popular dari Indonesia, Afgan bakal mempersona dengan konsert Afgan Live To Love yang akan diadakan pada 28 Mac ini, diikuti Konsert Pesona Cinta Dayang Nurfaizah & Marcell pada 29 Mac ini, juga di Istana Budaya.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato` Mohamed Juhari Shaarani, ketika dihubungi portal murai.com.my berkata, ketiga-tiga acara itu tetap dijalankan memandangkan tiada arahan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk membatal atau menangguhkan acara berkenaan.

“Semua acara ini tetap dijalankan kerana melibatkan pihak penganjuran dalam negara dan juga di peringkat dunia.

“Apatah lagi ada ramai artis, personaliti sukan antarabangsa dan tiket bagi menyaksikan dua konsert itu telahpun habis dijual.

“Tambahan pula tema dua konsert itu nanti adalah berteraskan cinta iaitu untuk konsert Dayang dan Marcell, manakala kemanusiaan untuk konsert Afgan nanti,” katanya bagi menjawab kemushkilan ramai pihak itu.

Dato’ Mohamed Juhari berkata, apa yang membuatkan pihaknya lebih selesa untuk terus menganjurkan 3 acara berkenaan apabila ianya diadakan di dalam Panggung Sari dan bukannya secara terbuka.

Malah katanya, tiga acara berkenaan bukanlah dianjurkan untuk bersuka ria sebaliknya bagi mengiktiraf ahli sukan dunia untuk  Laureus World Sports Awards, manakala dua konsert itu pula mengetengahkan tema cinta dan kemanusiaan.

Tambahnya lagi, beberapa siri konsert secara terbuka di Laman Sari Istana Budaya telah pun dibatalkan penganjurannya sejak misteri kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

“Pihak kami boleh mencadangkan untuk menyelitkan mesej berkenaan tragedi MH370 untuk dua konsert yang bakal berlangsung minggu ini.

“Malah selepas Anugerah Laureus ini diadakan, pihak Istana Budaya akan meletakan papan tanda elektronik di sini bagi menyampaikan mesej kehilangan pesawat berkenaan untuk tatapan tetamu yang hadir,”katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers