TV9 Perkenal Raudhah Lin Nisa'

TV9 Perkenal Raudhah Lin Nisa'

TV9 Perkenal Raudhah Lin Nisa'

TV9 yang terkenal dengan rangkaian rancangan dan program berbentuk keagamaan dan kerohanian iaitu 'Raudhah' akan memperkenalkan satu jenama baru yang menghimpunkan program-program hiburan berbentuk ilmiah yang dikhaskan untuk golongan wanita pada tahun 2014 iaitu 'Raudhah Lin Nisa'. 

Antara program yang akan berada di bawah penjenamaan 'Raudhah Lin Nisa' adalah 'Tanyalah Ustazah', 'Hijab Stailista', 'SIS', 'Shoutul Quran' dan 'Safiyya'.

Bermula 3 Januari 2014, program 'Shoutul Quran' akan bersiaran pada setiap Jumaat, jam 11.00 pagi. Program baru ini akan mengetengahkan proses pengajian Al-Quran kepada penonton untuk mengalunkan surah-surah lazim dengan penggunaan tajwid yang betul, alunan taranum yang merdu dan diakhiri dengan qasidah. Menampilkan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzaman sebagai pengajar, penyanyi Siti Nordiana dan Salima Habibi akan tampil sebagai pelajar untuk memperbaiki lagi bacaan Al-Quran mereka.

Seterusnya, program 'Tanyalah Ustazah' yang memang sudah menjadi pilihan penonton TV9 akan menampilkan seorang ustazah berpengalaman dan akan bersiaran secara langsung. Penonton di studio dan di rumah boleh berinteraksi dengan ustazah jemputan mengenai topik-topik tertentu yang diberikan dalam setiap episod. Program ini akan bersiaran setiap Jumaat, jam 11.30 pagi.

Program 'Semangat Intelek Swadaya' atau 'SIS' yang sebelum ini menampilkan Anne Ngasri dan Shabana akan bersiaran dengan dua orang pengacara baru, Heliza Helmi dan Emy Ramli. Mereka akan bergandingan dengan pengacara sedia ada, Diana Amir. Mereka bertiga akan membincangkan topik-topik yang lebih meluas, bukan sahaja mengenai masalah kaum wanita, tetapi 'SIS' akan mencakupi topik-topik yang membabitkan isu semasa dan isu global. 'SIS' akan bersiaran setiap Jumaat jam 7.00 malam.

Program 'Hijab Stailista' yang akan bersiaran setiap Jumaat, jam 7.30 malam pula akan mengekalkan pengacaranya, Ameera Zaini. Kali ini, Ameera akan membawa penonton meneroka lebih jauh untuk menjelajahi kota fesyen seperti Tokyo, Milan, Melbourne dan banyak lagi untuk mengetengahkan cara pemakaian hijab muslimah di serata dunia yang lebih unik dan moden.

Akhir sekali, program 'Safiyya' yang akan bermula pada 5 Januari 2014 pada setiap Ahad, jam 11.00 pagi akan menampilkan pengacara baru yang dicungkil bakatnya melalui program pencarian hos 'Raudhah' iaitu Yusma Nabila Yunus atau Bella. Bella akan membawa penonton rancangan ini meneroka topik-topik yang berkenaan dengan isu semasa serata Malaysia yang bersesuaian dengan semua gadis di luar sana.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers