Cinderella Undang Air Mata
Filem arahan Ahmad Idham, Cinderella, kini sedang ditayangkan di pawagam di seluruh negara. Untuk makluman, filem ini diadaptasi daripada drama bersiri Cinderella yang mencetuskan fenomena sekitar tahun 1998. Ketika itu, Ahmad Idham dan Haliza Misbun menggalas watak hero dan heroin.
Atas populariti drama bersiri itu, Ahmad Idham berani mengambil risiko tampil dengan naskah filem. Bagaimanapun, jalan cerita yang ditampilkan agak berbeza kerana mahu disesuaikan dengan latar masa ketika ini, sekaligus mahu menarik generasi muda ke pawagam.
Melihat maklum balas peminat-peminat Fizo Omar dan Nelydia Senrose di laman Twitter, rata-rata ramai yang berpuas hati dan memuji-muji filem ini. Malah, ramai juga yang berkempen supaya peminat filem Melayu lain menonton filem ini.
Jadi, bagi yang belum lagi menyaksikan Cinderella di pawagam, pasti anda mahu ulasan yang tidak berat sebelah bukan? Bagi GUA, buah tangan terbaru Excellent Pictures ini menampilkan sebuah jalan cerita yang mudah untuk difahami dan boleh dijadikan pengajaran kepada golongan muda-mudi ketika ini. Namun, ada juga kekurangannya kerana kisah yang dipaparkan klise!
Kisah cinta sebegini sudah terlalu banyak ditampilkan. Bukan hanya di layar perak, tetapi juga di kaca televisyen. Tetapi jika difikir-fikirkan, itulah realiti kehidupan ketika ini. GUA berpendapat, tindakan Salman bersetuju berkahwin dengan Nurul mungkin dirasakan tidak releven oleh penonton masa kini. Ini kerana agak susah mencari lelaki yang sudi berkahwin dengan seorang wanita yang tidak dikenalinya. Tapi, ia tidak mustahil bukan? Masa dan keadaan boleh memungkinkan segalanya.
Tentang gandingan Fizo dan Nelydia pula, GUA lihat kedua-dua pelakon ini selesa bersama. Tidak teragak-agak ataupun kekok. Masing-masing tahu cara mengheret penonton untuk bersimpati dengan situasi mereka. Sebab itu GUA tidak hairan apabila ramai penonton yang berderai air mata. Maklumlah rasa sedih dan simpati menguasai diri.
Selain itu, GUA juga suka dengan kemunculan orang gaji Salman yang dijayakan oleh Fauziah Nawi. Biarpun dia hanya pelakon pembantu, tetapi kehadirannya sangat membantu menghangatkan jalan cerita. Malah, dia juga mengundang tawa penonton. Kalau dia tiada, rasanya Cinderella kurang rencahnya.
Bagi GUA, kekuatan Cinderella bukanlah pada jalan ceritanya, tetapi populariti hero dan heroin. Persoalannya, bolehkah filem ini mengutip jualan pecah panggung seperti yang diharapkan oleh pihak produksi. Lebih-lebih lagi ia perlu bersaing dengan beberapa filem hebat Hollywood yang seperti The Hobbit : The Desolation Of Smaug, Walking With Dinosaurs, dan 47 Ronin.
Cinderella mengisahkan tentang Nurul, gadis kampung berusia 22 tahun, tinggal bersama ibu tirinya, Ainon serta adik tirinya, Farah dan abang tirinya, Zamil. Di kampung, keluarga tiri Nurul melayan Nurul seperti orang gaji. Tiada langsung rasa belas kasihan.
Mereka terpaksa membenarkan Nurul tinggal di situ kerana terpaksa dan juga kerana menunjukkan kepada orang-orang kampung kemuliaan hati mereka membela seorang gadis yatim piatu.
Pada masa yang sama, Zamil pula teruja dengan keayuan adik tirinya dan menunggu masa yang sesuai saja untuk mencabul Nurul. Suatu malam, Zamil Berjaya mendapat peluang. Dia bertindak ganas dan cuba merogol adik tirinya itu. Namun, Nurul Berjaya melepaskan dan lari ke luar rumah untuk menyembunyikan diri sehingga ke khemah penginapan Salman, anak seorang tokoh korporat terkemuka.
Tiba-tiba Mereka berdua diserbu oleh ketua kampung, tok imam dan beberapa orang kampung. Salman dan Nurul diberi dua pilihan – di bawa ke balai polis dan didakwa di Mahkamah Syariah atau berkahwin dan tidak kembali lagi ke kampung tersebut. Bagi menjaga namanya,Salman bersetuju dengan pilihan kedua.
Filem : Cinderella
Dibintangi oleh : Fizo Omar (Salman), Nelydia Senrose (Nurul), Kamal Adli (Ray), Fauziah Nawi (Mak Jah), Datuk Jalaludin Hassan (Datuk Mokhtar), Azizah Mahzan (Ainon), Azlan Komeng (Zamil), Erin Malek (Farah), Dayangku Faratiwan (Sheila), Sahrol Nizam (doktor)
Genre : Romantik Drama
Info : Ahmad Idham mengakui dia tidak begitu mengenali Fizo Omar pada mulanya. Tetapi selepas berkerjasama dengan pelakon ini, dia yakin Fizo memang sangat sesuai menggalas watak Salman, seorang lelaki yang leka dengan kehidupan dunia.
Rating : 3 / 5
nak tengok la lepas ni
ReplyDeletehmm tapi is bakal melepas laa nak gi tengok asyik sibuk memanjang, khabarnya citer nie kuar kat pawagam je nak elak pirate isk isk isk.
Delete