Encik Mimpi Nafi Tiru Bandi Amuk

Encik Mimpi Nafi Tiru Bandi Amuk

Encik Mimpi Nafi Tiru Bandi Amuk

Berselindung di sebalik topeng putih, pendatang baru yang ingin dikenali sebagai Encik Mimpi enggan mendedahkan identiti sebenarnya kepada masyarakat.

Katanya yang bermula sebagai penulis blog dan penyanyi parodi dengan nama yang sama, imej bertopeng dipilih untuk mengekalkan identiti Encik Mimpi yang dikenali di alam siber sebagai seorang yang misteri.

"Saya dah mula menulis blog sejak tahun 2009 dan saya bercerita tentang pengalaman saya belajar di luar negara. Tapi saya tak pernah mendedahkan siapa saya sebenarnya. Apabila berpeluang menceburi industri muzik, saya mahu meneruskan identiti Encik Mimpi seperti di dalam blog," ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran single pertamanya 'Rindukanlah' yang turut menjadi runut bunyi drama 'Playboy Itu Suami Aku' yang sedang ditayangkan di slot akasia TV3.

Tambah Encik Mimpi yang mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial, dia telah meminta pendapat pengikutnya terlebih dahulu sebelum dia berjinak-jinak dalam industri hiburan sama ada untuk mendedahkan siapa dirinya sebenar atau teruskan imej bertopeng.

Encik Mimpi Nafi Tiru Bandi Amuk


"Ramai yang menyarankan saya untuk mengekalkan identiti Encik Mimpi. Bagi yang baru mengenali saya, saya anggap saya memberi imej baru dalam industri kerana tak ramai penyanyi yang bertopeng di Malaysia ini," jelas Encik Mimpi menafikan dia meniru imej penyanyi rock Bandi Amuk.

"Mungkin ada yang tidak gemar dengan imej saya dan menganggap saya meniru Bandi Amuk. Sebagai manusia biasa, saya tak dapat elak daripada dicemuh dan dilemparkan komen negatif. Tapi saya akan jadikan ia semangat untuk memperbaiki diri," jelasnya.

Sudah menulis lebih dari 20 buah lagu, jejaka berusia 25 tahun ini belum merancang untuk fokus dalam bidang muzik dan meninggalkan kerjayanya dalam bidang teknologi maklumat.

"Untuk jangka masa panjang, saya belum lagi terfikir untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang muzik. Bagi saya, saya terima apa jua rezeki yang datang. Buat masa ini, menyanyi merupakan kerjaya sampingan saya," ujar Encik Mimpi berkongsi rakan sekerjanya tidak mengetahui bahawa dia kini seorang penyanyi.





Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers