Scha cabar diri!

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Scha, Scha Al Yahya, Cabar, Diri
Scha Al-Yahya


NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA
FOTO : SAFWAN MANSOR & KMK
13 Jun 2013

PELAKON dan juga pengacara, Scha Al-Yahya mengakui mencabar dirinya sendiri untuk mengacarakan majlis anugerah berprestij, Anugerah Blockbuster 2, yang akan diadakan di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru, 15 Jun ini.

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Scha, Scha Al Yahya, Cabar, Diri
Scha menerima sebuah vespa daripada suami tercinta, Awal Ashaari sempena ulang tahun kelahirannya baru-baru ini


Menurut Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, dia juga akhirnya mengalah dan menerima tawaran dari Astro setelah beberapa kali menolak untuk mengacarakan majlis berskala besar.

“Sebelum ini, Astro memang ada tawarkan saya untuk mengacara majlis anugerah seperti ini, tetapi saya tolak kerana merasakan belum bersedia untuk mengacarakan program berskala besar.

“Tetapi seorang individu yang rapat dengan saya pernah berkata, selagi saya tidak mencuba, bagaimana saya tahu perkara itu susah atau senang. Jadi akhirnya saya cabar diri untuk mengacarakan Anugerah Blockbuster 2 ini dan harapnya segalanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Blockbuster 2, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai gandingannya bersama Datuk AC Mizal, Scha berkata, biarpun gementar, namun dia bertuah kerana pernah bekerja dengan AC sebelum ini.

“Tidak susah bekerja bersama beliau dan dia juga ada berkata akan berbincang mengenai cara pengacaraan kami nanti.

“Bagusnya AC kerana walaupun dia berlawak, tapi dia masih ada input-input yang diberikan kepada penonton. Bagaimanapun rasa gementar masih ada sebab ini adalah program terbesar saya,” katanya.

Scha berkata, biarpun dia pernah mengacarakan program Sehati Berdansa sebelum ini, namun masih banyak persediaan persediaan yang perlu dilakukan.

“Saya akui masih lemah dan banyak lagi ilmu pengacaraan yang perlu saya pelajari. Dari segi teknik pernafasan dan ada ketika saya 'blank', tiba-tiba tak tahu nak cakap apa. Frasa kata saya dalam Bahasa Melayu pun masih
tak banyak lagi. Mengacara ni sebenarnya kena petah bercakap.

“Masa mengacara Muzik-Muzik dengan AG, dia banyak juga bantu saya. Awal pun ada bagi nasihat dan tip pada saya,” katanya.

Jadi artis berdisiplin

Berkongsi mengenai sikapnya dalam bekerja, Scha berkata, dia melatih dirinya agar sentiasa berdisiplin dalam setiap kerja yang dilakukan supaya prestasi kerjanya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Malah, Scha turut menyifatkan individu yang mempunyai disiplin kerja yang baik mampu memberikan kejayaan tidak kiralah apa sahaja bidang yang diceburi.

“Sejak mula-mula berkecimpung dalam bidang seni lagi saya sudah melatih diri menjadi seorang yang berdisiplin.

“Ada kalanya, saya terlewat juga ke set, tapi kita ambil hati pengarah dan pastikan kita hafal skrip dan sentiasa beri yang terbaik dalam lakonan,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Scha berkata, dia baru saja selesai menjalani penggambaran Bila Hati Perempuan Menjerit. Drama 24 episod itu turut dibarisi seperti pelakon Kamal Adli dan Noorkhiriah itu akan disiarkan di Astro Prima.

Scha juga bakal menjalani penggambaran telemovie berjudul Baran.

Hadiah vespa

Dalam pada itu, Scha sempat berkongsi kegembiraannya apabila menerima sebuah vespa daripada suami tercinta, Awal Ashaari sempena ulang tahun kelahirannya baru-baru ini.

Scha berkata, dia tidak sangka Awal masih mengingati permintaannya itu, kerana ia dibuat sebelum mereka berkahwin.

“Saya pernah cakap dengan dia yang saya teringin nak vespa setelah berlakon dalam sebuah drama. Tapi dah lama saya cakap dengan dia, setahun setengah lalu. Tak sangka pula yang dia masih ingat.

“Saya memang ada lesen, B2. Bila dah ada vespa senanglah untuk berulang-alik, nak hantar barang ke butik. Malah kadang-kadang saya yang bawa dia. Dia pun pandai bawa motor cuma dia memang lagi suka kalau saya yang bawa dia,” katanya yang turut menerima sebiji kek yang turut diubah suai mengikut permintaannya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers