Teks Oleh Kheme Rosly
Foto oleh DFP
KUALA LUMPUR, 4 JUN 2013: Sesiapa sahaja yang bergelar penyanyi pasti mengimpikan sebuah konsert atau persembahan berskala besar sebagai melengkapkan portfolio sebagai penghibur di dalam bidang seni suara. Buat Hafiz Suip atau Hafiz, dia sudah boleh berbangga dengan pencapaian terbaru mengadakan persembahan di DewanFilharmonik Petronas (DFP) semalam, Isnin.
Dalam senario industri muzik tempatan yang dilihat semakin tenat, Hafiz bagaimanapun ttetap gigih berusaha membina nama dengan kekuatan vokal yang telah terbukti dalam pelbagai penganugerahan. Artis yang dilahirkan daripada program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh itu dipilih sendiri oleh pihak DFP yang yakin dengan kredibiliti Hafiz dan layak untuk berdiri diatas pentas berprestij tersebut.
Slot DFP Spotlight yang dikendalikan oleh Hafiz juga pernah menampilkan Yuna, Aizat, Najwa Mahiaddin, Noryn Aziz dan ramai penyanyi baru sebagai langkah atau inisiatif daripada DFP untuk menarik audiens yang berbeza serta muka baru untuk datang ke situ.
Tepat jam 8.30 malam, dewan berkapasiti 900 penonton telah dipenuhi hadirin seawal jam 8 malam gamat dengan tepukan sebaik sahaja Hafiz tampil ke atas pentas. Memilih lagu Noktah Cinta sebagai lagu pembukaan menyaksikan Hafiz selesa dan meneruskan dengan lagu Masih Jelas sebelum menamatkan ia dengan sesi intro secara ringkas.
Lagu ketiga yang kini sedang hits, Ku Akui dinantikan ramai penonton tetapi mungkin kerana gemuruh atau masalah kesihatan, ada satu ketika vokal Hafiz seakan pecah. Namun itu tidak memberi apa-apa reaksi negatif dan ia dihabiskan oleh penyanyi kelahiran Sarawak itu dengan mendapat tepukan gemuruh.
Untuk segmen lagu Inggeris, Hafiz memilih She Will Be Loved dan diikuti lagu yang mempunyai makna tersendiri dalam hidup penyanyi ini, When I Was Your Man oleh Bruno Mars disampaikan dengan begitu baik sekali. Tidak melupakan lagu klasik Melayu, Ilham Pujangga berunsur nasihat disampaikannya diikuti Pelangi Petang oleh Allahyarham Sudirman menutup set pertama konsert pertama juara AF musim ke tujuh itu.
Tampil bersama pasangan duet yang dipilih Hafiz sendiri, Alyah muncul di pentas dengan imej terkininya lengkap berhijab. Bersama Alyah, Hafiz telah menyempurnakan lagu duetnya yang popular iaitu Muara Hati dan Ombak Rindu. Set kedua ini juga turut memperlihatkan Hafiz menukar persalinan sut yang lebih quirky menyerlahkan penampilannya di pentas.
Sebuah lagu baru daripada Hafiz yang sedang mula diputar di stesen radio, Matahari telah dinyanyikan secara live buat pertama kali pada malam konsert tersebut. Sebuah lagi cover version iaitu lagu popular daripada R. Kelly, I Believe I Can Fly dinyanyikan penyanyi ini dengan caranya yang tersendiri.
Hampir 70 minit persembahan tanpa henti, Bahagiamu Deritaku menjadi dendangan kedua terakhir sebelum pentas Dewan Filharmonik Petronas ditutup dengan dendangan Awan Nano bersama-sama penonton.
Pengarah muzik yang diberi tanggungjawab mengendalikan slot ini adalah Aubrey Suwito bersama beberapa pemuzik tetap di DFP telah membuai penonton yang hadir dan seperti tidak merasa waktu berlalu sebaik tamat persembahan sulung Hafiz tersebut.
Rata-rata hadirin berpuas hati dengan persembahan Hafiz di konsert pertamanya. Dengan harga tiket RM80 penonton juga berpeluang bertemu Hafiz dalam sesi bertemu peminat sebaik berakhirnya konsert itu di ruang legar DFP.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.