Tanda Putera: Shuhaimi Baba Tetap Tunggu Kelulusan FINAS

KUALA LUMPUR, 4 JUN 2013: Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shaberi Cheek mengenai filem kontroversi Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimu Baba yang telah mendapat kebenaran untuk ditayangkan di pawagam tempatan masih belum dapat melegakan hati pengarah filem itu sepenuhnya.

Menurut Paduka Shuhaimi Baba yang juga penerbit di Pesona Pictures Sdn Bhd, selagi filem yang dikaitkan dengan tragedi berdarah 13 Mei 1969 itu masih belum diberikan syarat wajib tayang oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ia tidak bererti apa-apa padanya yang telah menanti sekian lama.

Malaysia, hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Tanda Putera, Shuhaimi Baba, tetap, Tunggu, kelulusan, FINAS


Murai.com.my telah menghubungi pengarah ini setelah mendapat info mengenai tarikh tayangan filem Tanda Putera yang diumumkan pada 29 Ogos depan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, namun Shuhaimi Baba tetap menanti hitam putih daripada FINAS sebelum meraikan kejayaan filem ini untuk ditayangkan.

"Memang betul Datuk Seri Shabery Cheek umum mengenai tarikh tayangan Tanda Putera dan saya akui gembira apabila menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia sendiri menyokong karya saya untuk ditayangkan kepada umum.

"Tetapi saya, selaku penerbit dan Pesona Pictures Sdn Bhd tidak akan meraikan apa-apa kejayaan selagi ia tidak mendapat kelulusan syarat wajib tayang oleh FINAS sepertimana filem-filem lain.

"Saya berharap kelulusan itu akan lebih memberi saya harapan yang lebih kerana buat masa ini saya belum benar-benar meraikan kejayaan Tanda Putera,"jelas Shuhaimi Baba yang dilaporkan telah melaburkan RM 4.8 juta untuk menghasilkan filem ini pada 2011.

Pengarah itu juga memberitahu bahawa dia pernah putus harapan dengan filem yang dikatakan menyentuh sensiviti kaum tersebut berikutan latarbelakang Tanda Putera mengambil kisah insiden pergaduhan sesama kaum pada tahun 1969 itu.

"Sampai satu tahap bila saya naik turun ke FINAS untuk mendapatkan kelulusan wajib tayang bagi Tanda Putera dan ia masih lagi gagal, saya hanya redha. Dalam erti kata lain saya tidak lagi berharap apa-apa mengenai filem ini.

"Seperti yang saya katakan awal tadi, walaupun dah ada tarikh untuk tayangan ini namun segala perkara bergantung kepada FINAS. Selagi tiada kebenaran dan sebarang kelulusan iaitu lesen bagi penayangan filem ini, ia tidak membawa makna apa-apa.

"Mungkin dengan sokongan daripada kementerian akan mempercepatkan lagi keputusan FINAS mengeluarkan surat sah wajib tayang dan ketika itu baru saya akan berpuas hati setelah bertungkus lumus menghasil filem ini,"jawabnya bagi menjelaskan situasi yang berlaku dimana sokongan daripada kementerian bukanlah penentu tetapi ia terletak di tangan FINAS.

Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, antara tunggak utama Tanda Putera dibantu oleh Norman Hakim, Riezman Khuzaimi dan ramai lagi pelakon hebat. Meminjam waktu darurat sekitar tahun 1969 sebagai latar belakang filem ini, Pesona Pictures Sdn Bhd mahu memaparkan kisah Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr. Ismail Abdul Rahman berusaha memulihkan keamana negara susulan peristiwa pergaduhan antara kaum pada tahun itu.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers