Polis cuba tutup kematian Syed Azlan – SUARAM

Polis cuba tutup kematian Syed Azlan – SUARAM
NGO itu mendakwa kebarangkalian untuk melakukan penipuan atau pemalsuan bukti adalah tinggi khususnya demi menjaga nama baik institusi polis.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mendakwa polis cuba menutup kesilapan anggota mereka yang menyebabkan kematian Syed Mohamed Azlan Syed Mohamed Nur pada 3 November 2014 ketika dalam tahanan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia itu mendakwa, disebabkan polis mempunyai kuasa untuk menahan dan membuat siasatan kes kematian dalam tahanan, kebarangkalian untuk melakukan penipuan atau pemalsuan bukti adalah tinggi khususnya demi menjaga nama baik institusi polis.

Katanya, ia dapat dilihat menerusi kenyataan Ketua Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan pada 25 November 2014 bahawa beliau telah mengetahui bahawa mangsa  mati kerana dipukul polis.

“Mangsa  mati 3 November 2014, manakala kenyataan beliau (Hasnan) pada 25 November 2014, sepatutnya dalam tempoh tersebut beliau telahpun mengetahui bahawa si mati mati kerana dipukul pihak polis dan bukannya secara mengejut tetapi beliau tidak mahu mendedahkan perkara yang sebenar,” kata SUARAM menerusi kenyataan media.

Sehubungan itu, SUARAM menggesa agar polis membuat penambahbaikan seperti yang dicadangkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa Malaysia (EAIC).

“Antara yang paling penting adalah jika berlaku kecederaan fizikal pada suspek semasa penangkapan berlaku, maka suspek perlulah dirujuk atau dihantar ke pegawai perubatan hospital kerajaan bagi memastikan tahap keseriusan kecederaan serta status kesihatan suspek tersebut,” katanya.

SUARAM akan menghantar memorandum di Bukit Aman pada Rabu untuk mendesak salah laku polis itu dibawa pada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

EAIC pada 30 Oktober lalu mengeluarkan hasil siasatan yang mendapati kematian Syed Azlan akibat trauma hentakan senjata tumpul ke atas dada si mati.

Siasatan EAIC  juga mendapati si mati mengalami 61 kesan kecederaan di seluruh badan dipercayai dipukul ketika ditahan dan disoal siasat oleh anggota polis.

Syed Azlan ditahan pada 3 November 2014 di bilik sewanya di Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Johor kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan dan menggunakan senjata api.

Dia disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bandar Penawar pada hari yang sama ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan perintah tahanan reman.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers