Jamal yakin tidak bersalah

Jamal yakin tidak bersalah
Beliau yakin berada di pihak yang benar kerana tidak ada membuat sebarang kesalahan atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan bertentangan keputusan parti.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunos menafikan dakwaan beliau termasuk dalam senarai tujuh pemimpin UMNO yang bakal berdepan digantung keahlian kerana bermasalah.

Kenyataan itu bagi menafikan laporan sebuah portal sebelum ini yang memetik sumber sebagai berkata, jurucakap utama Perhimpunan Baju Merah itu menyertai enam ahli UMNO yang bakal berdepan dengan hukuman itu.

Selain Jamal, portal itu menamakan enam yang lain iaitu bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Jamal turut mengesahkan buat masa ini beliau masih belum menerima sebarang surat atau panggilan telefon daripada Lembaga Disiplin UMNO.

“Saya tidak pernah dihubungi dan saya tidak pernah dimaklumkan (tindakan disiplin parti).

“Saya tidak tahu dan saya yakin saya berada di pihak yang benar kerana tidak ada membuat sebarang kesalahan atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan bertentangan keputusan parti,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Jamal juga yakin beliau tidak akan diambil tindakan kerana berpandangan Perhimpunan Baju Merah itu dianjurkan atas kapaisti badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, UMNO hanya hadir dalam perhimpunan itu selepas dijemput oleh penganjur.

“UMNO tidak terlibat di dalam perhimpunan 16 September (Perhimpunan Baju Merah)..UMNO hanya menyokong dan penganjurnya adalah terdiri dari kalangan NGO.

“UMNO dijemput dan UMNO sertainya…. Jadi kalau saya dikaitkan dengan kesalahan perhimpunan itu, saya pun tidak tahu….saya mengetahu perkara ini pun selepas media bagi tahu,” jelasnya.

Sebelum ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata mana-mana ahli UMNO yang melanggar Perlembagaan parti bakal berdepan tindakan penggantungan.

Tengku Adnan berkata, sebaik saja pejabatnya selesai menjalankan siasatan, nama mereka akan dibawa ke pejabat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan seterusnya kepada Lembaga Disiplin parti untuk menentukan bentuk hukuman.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers