Aziz Bari beri harapan palsu kepada bukan Melayu

Aziz Bari beri harapan palsu kepada bukan Melayu
Dia diminta memberi penjelasan negeri manakah boleh melantik menteri besar dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Islam.

Seorang ahli akademik menyifatkan Pakar Undang-undang yang telah menyertai DAP, Dr. Abdul Aziz Bari telah memberi harapan palsu kepada bukan Melayu di negara ini.

Ia susulan kenyataan Aziz baru-baru yang dilaporkan berkata, orang bukan Melayu boleh dilantik sebagai menteri besar.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, kenyataan yang dibuat oleh Aziz itu bukan sahaja harapan palsu malah boleh membuatkan rakyat menjadi bingung.

“Saya rasa ia boleh bingungkan rakyat. Menyebabkan orang yang tak usul periksa, orang yang tak membaca lebih mendalam boleh percaya dan ini akan beri harapan palsu kepada orang bukan Melayu.

“Mana mungkin sultan lantik menteri besar yang tak beragama Islam. Kalau dari segi logiknya. Macam mana menteri besar nak nasihatkan sultan tentang agama Islam kalau dia bukan beragama Islam?,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Ramlah menjelaskan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri jelas menyatakan bahawa syarat untuk menjadi menteri besar merupakan Melayu dan beragama Islam.

“Setiap negeri di Malaysia ini mempunyai undang-undang tubuh. Jadi undang-undang tubuh tu macam Selangor jelas, Perak jelas. . saya rasa semua negeri jelas bahawa menteri besar itu Melayu dan Islam.

“Jadi kalau dia (Aziz) kata sultan boleh lantik bukan Melayu (menjadi menteri besar) itu pendapat pertama kali saya dengar. Saya rasa ini sangat merbahaya. Memberi harapan sedangkan benda itu memang tidak wujud dalam setiap negeri.” katanya.

Sehubungan dengan itu, Ramlah mencadangkan agar Aziz menjelaskan kenyataan yang dibuat olehnya negeri manakah yang membenarkan orang bukan Melayu dan bukan Islam menjadi menteri besar.

“Kenyataan yang umum macam ini boleh memesongkan atau memberi interpretasi yang salah. Dia boleh menimbulkan imej yang buruk kepada Sultan sebab disesebuah negari, sultan adalah pelindung agama Islam dan ketua agama Islam,” jelasnya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Aziz sebagai berkata, bukan Melayu boleh dilantik sebagai menteri besar kerana ia dibenarkan Perlembagaan yang jelas menyatakan bukan Melayu turut mempunyai hak asalkan memenuhi syarat ditetapkan.

Beliau berkata mengikut Perlembagaan, dalam keadaan tertentu kelonggaran diberikan kepada sultan untuk memilih calon menteri besar daripada kalangan bukan Melayu.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers