Kehilangan Kak Pah Dirasai
Pemergian Biduanita Negara, Dato' Sharifah Aini pada Sabtu memberi tamparan yang cukup besar dalam industri hiburan negara. Ramai bagaikan tidak percaya dengan berita yang tersebar.
Bagaimanapun, penyanyi pujaan ramai ini kini telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Sebagai ikon hiburan yang menjadi idola ramai peminat, Allahyarham juga disegani oleh rakan-rakan seperjuangan serta artis-artis generasi baru. Berikut reaksi beberapa artis tentang pemergian penyanyi lagu 'Seri Dewi Malam' ini.
Nabila Huda
“Saya begitu terkejut apabila membaca berita tersebut. Timbul perasaan sebak kerana dia merupakan salah seorang biduanita hebat negara ini yang telah pergi meninggalkan kita. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman,” ujar Abil.
Dafi
Nad Zainal
“Datuk Sharifah Aini adalah seorang penyanyi yang mempunyai vokal yang tidak dapat dinafikan kehebatannya. Beliau merupakan antara artis yang berada dalam kelasnya tersendiri melalui lagu-lagu evergreennya serta mampu menyanyikan lagu tradisional dengan baik sekali.
Kehilangannya amat saya rasai kerana tidak mungkin kita akan temui penyanyi yang begitu hebat dan mempunyai gaya serta aura tersendiri. Kak Pah adalah seorang ikon sejati, penyanyi, pelakon dan penghibur yang hebat. Beliau adalah seorang artis yang patut dicontohi dan masih diminati oleh semua generasi,” kata Nad.
Ayu Damit
"Bagi saya, ia satu kehilangan yang sangat besar untuk industri seni Malaysia. Lagi-lagi dalam tiga minggu saja lagi kita nak menyambut Syawal dan waktu itu akan berkumandang lagu-lagu Raya arwah. Walaupun saya tak pernah berjumpa dan sepentas dengan arwah, namun arwah tetap ikon wanita yang saya sanjung. Salam takziah buat keluarga arwah. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah."
Afdlin Shauki
"Satu kehilangan yang besar bagi industri seni, tapi saya bersyukur beliau telah pergi di dalam bulan Ramadan yang penuh berkat dan marilah kita mengingati beliau untuk semua amal dan kebaikan yang pernah beliau buat. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh-roh orang yang beriman."
Alyah
"Saya terkejut dan rasa ini satu berita yang sukar untuk diterima. Tapi Allah SWT lebih mengerti dan berkehendak. Sebagai kenalan, sedekahkan doa supaya dia tenang di sana."
Arja Lee
"Walaupun saya tidak mengenalinya secara peribadi, arwah merupakan salah seorang idola saya. Saya meminati lagu-lagu nyanyian arwah. Arwah ibu saya juga minat pada dia. Boleh dikatakan, saya membesar dengan lagu-lagu dendangan arwah. Saya rasakan kehilangan arwah semestinya dirasai kerana dia adalah seorang Biduanita Negara. Jika ada persembahan, saya juga seringkali menyanyikan lagu-lagu arwah seperti lagu 'Burung Pungguk' dan 'Seiring Sejalan'."
Sasha Saidin
"Ibu saya meminati arwah. Walaupun ibu saya tidak tahu berbahasa Melayu, tetapi ibu saya suka dengar lagu dendangan arwah. Semenjak kecil saya sering mendengar lagu arwah. Ketika di awal kemunculan kumpulan Elite, kami bernaung di bawah payung pengurusan yang sama iaitu EMI.
Ketika itu, arwah masih lagi aktif mengadakan persembahan dan kami sering mengadakan persembahan bersama. Saya rasa bangga kerana berpeluang mengadakan persembahan di satu pentas yang sama dengan arwah yang juga merupakan bintang pujaan saya. Dia relaks orangnya, dia juga sangat profesional dan murah senyuman."
Anzalna Nasir
"Saya terkejut mendengar berita mengenai permergian arwah. Malaysia kehilangan seorang penyanyi yang bertaraf Biduanita Negara. Walaupun saya tidak mengenalinya secara peribadi, saya suka mendengar lagu-lagu dendangan arwah, terutamanya lagu berkenaan sambutan Hari Raya yang pastinya mengimbau seribu satu kenangan. Takziah saya ucapkan untuk keluarga arwah atas pemergian Dato' Sharifah Aini."
Shiha Mentor
"Shiha masih tak percaya dengan pemergian arwah ummi. Shiha ralat sebab tak sempat nak tunaikan hajat arwah makan kari ikan. Shiha agak sibuk masa itu dan keadaan kesihatan ummi ketika itu juga tidak mengizinkan. Apapun Shiha redha dengan pemergian seorang insan yang sangat Shiha kagumi, seorang mentor yang mengajar Shiha bukan sekadar nyanyian malah hampir semua aspek kehidupan."
Misha Omar
"Satu kehilangan besar kerana arwah seorang lagenda yang begitu dekat dengan hati rakyat Malaysia. Arwah sangat hebat serta berbakat dan pemergiannya sudah pasti meninggalkan kesan besar buat industri muzik tempatan. Kepada keluarga Allahyarhamah, saya doakan mudah-mudahan mereka terus diberikan kesabaran melalui ujian ini. Harus diingat, hanya mereka yang terpilih saja dijemput oleh Allah SWT untuk bertemu denganNya pada bulan Ramadhan ini. Saya juga menyeru kepada semua peminat muzik terutamanya golongan muda supaya sama-samalah sedekahkan Al Fatihah agar arwah ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.
Jamal Abdillah
"Pemergian arwah merupakan satu kehilangan yang besar buat industri seni tanah air. Arwah bagaikan sebutir bintang yang menyinari dunia seni Melayu di mana suaranya telah membesarkan rakyat Malaysia serta mengiringi saat suka duka kehidupan kita semua. Tidak keterlaluan dikatakan suaranya telah menjadi darah daging kita semua. Al-Fatihah."
Ogy Ahmad Daud
"Saya mengenali Kak Pah sejak saya di zaman remaja lagi, maka itu saya amat-amat terpukul dengan pemergiannya. Saya sangat sedih dan sampai sekarang saya masih lagi sukar untuk percaya yang Kak Pah sudah tiada. Perginya tiada pengganti dan dia sungguh beruntung kerana dijemput Allah di bulan yang penuh baroqah ini.
Dia pernah menghubungi saya secara peribadi menceritakan tentang penyakit yang dihadapi dan suruh saya berjanji jangan bercerita kepada sesiapa. Jadi, saya akur dengan amanah itu. Arwah juga ada pernah nak berjumpa saya dua hari selepas Allahyarhamah Azean Irdawaty meninggal, tapi saya tak dapat kerana saya mengajar seni lakon waktu itu.
Saya sangat menyesal kerana tidak dapat bertemu dengan Kak Pah ketika dia ingin bertemu. Dan menyedihkan lagi apabila saya tak dapat menatap wajah terakhir Kak Pah yang saya anggap sebagai seorang kakak kerana saya ada urusan keluarga yang wajib diuruskan.
Hanya doa agar rohnya ditempatkan di dalam golongan para-para syuhada dan golongan hambaNya yang beriman yang saya panjatkan kepada Allah SWT. Al Fatihah buat hamba Allah yang berhati mulia Almarhumah Hajah Sharifah Aini. Ogy sayang dan akan rindu sangat pada Kak Pah."
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.