Anzalna Tak Mahu Dikatakan Syok Sendiri

Anzalna Tak Mahu Dikatakan Syok Sendiri


Mula aktif dalam lapangan seni semenjak tahun 2011, pelakon drama bersiri ‘Love You Mr. Arrogant’, Anzalna Nasir menyatakan yang pada mulanya, dia tidak mempunyai kelab peminat berbanding artis-artis lain yang seangkatan dengannya. Anzalna mengakui dirinya segan dan enggan dilabel sebagai syok sendiri jika mempunyai kelab peminat.

“Sewaktu awal kemunculan dalam bidang seni dahulu, ada yang mencadangkan supaya saya menubuhkan kelab peminat. Saya tidak mengambil endah perkara tersebut kerana saya sendiri rasa segan. Saya tidak mahu syok sendiri. Dalam hati saya berkata, adakah saya benar-benar punya peminat atau pun sebaliknya,” ujar Anzalna memulakan bicara.

Anzalna Tak Mahu Dikatakan Syok Sendiri


“Tetapi saya tetap mendapat permintaan untuk mengadakan majlis bertemu peminat menerusi laman sosial. Mereka sering memujuk saya untuk menubuhkan kelab peminat. Melihat kepada sokongan peminat semenjak awal kemunculan saya sehingga kini, tertubuhlah ‘Anzalna Nasir Lovers’ (ANL), hasil usaha peminat-peminat saya sendiri.

Mereka merancang mahu mengadakan pertemuan dengan saya semenjak beberapa bulan lalu. Akhirnya perancangan itu menjadi kenyataan pada bulan Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama ANL di Delicious St Mary Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anzalna Tak Mahu Dikatakan Syok Sendiri


Mengakui yang majlis itu terjadi atas usaha kelab peminatnya, perancangan acara diuruskan sepenuhnya oleh ahli-ahli ANL. Pelakon filem ‘Kahwin 5’ ini juga menyatakan rasa terharunya atas usaha yang dilakukan oleh kelab peminatnya itu.

Buat Kerja Amal Sepanjang Ramadan


Bersempena dengan kedatangan bulan mulia ini, Anzalna mengurangkan aktiviti seninya. Pelakon drama bersiri ‘Ramadan Terakhir’ ini menumpukan fokusnya untuk menghadiri acara-acara seperti majlis berbuka puasa dan di samping itu, Anzalna juga merebut peluang untuk melakukan kerja-kerja amal.

“Sepanjang tahun saya sibuk dengan penggambaran, jadi pada bulan Ramadan ini adalah waktu untuk saya merehatkan diri. Saya sudah terlebih dahulu berjanji dengan diri sendiri, sempena datang bulan Ramadan, saya mahu kurangkan aktiviti seni dan saya mahu melakukan kerja-kerja amal,” katanya yang baru-baru ini turun padang melawat Rumah Orang Tua Al-Ikhlas Puchong bersama sebuah organisasi.

“Apabila saya masuk saja ke sana, hati saya rasa sayu melihatkan keadaan penghuni di sana dan saya terus terfikirkan ibu bapa saya. Saya terfikir mengenai warga emas yang tidak di jaga oleh anak-anak mereka dan saya membayangkan perkara yang sama berlaku kepada ibu bapa saya. Saya sebak bila terfikirkan perkara itu dan saya sendiri takkan benarkan perkara itu berlaku,” katanya.

“Walaupun sumbangan saya kecil sahaja, apa yang saya boleh buat adalah dengan melawat mereka dan membuatkan mereka rasa gembira, walaupun sekejap. Ada seorang mak cik yang membuatkan saya menangis. Dia sakit dan terlantar, tetapi dia sempat berpesan kepada saya untuk menemuinya terlebih dahulu pulang. Jadi, sebelum saya pulang, saya bertemunya dan dia memandang saya dengan perasaan sedih lalu menangis. Saya pun gagal mengawal sebak lantas saya juga turut sama menangis,” ceritanya lagi.

Bakal meneruskan aktiviti seumpama ini, Anzalna mempunyai perancangan untuk melawat kanak-kanak pesakit kanser dalam usahanya untuk meneruskan aktiviti amal sepanjang Ramadan. Mengenai perkembangan terbaru, drama lakonan Anzalna bersama Kamal Adli dan Shukri Yahaya, ‘Yang Mana Satu’ akan bersiaran di TV3 pada Syawal ini.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers