Sherry & Zulin Diyakini Mampu Gamatkan Melodi

Sherry & Zulin Diyakini Mampu Gamatkan Melodi


Setelah Zizan Razak telah menamatkan perkhidmatannya sebagai pengacara program hiburan sensasi nombor satu negara, Melodi memperkenalkan dua orang pengacara baru, Sherry Al-Hadad dan Zulin Aziz.

Mereka berdua bergandingan dengan Awal Ashaari untuk meneruskan legasi Melodi bagi menyampaikan informasi hiburan kepada peminat-peminat program sensasi ini.

Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin berkata, pertukaran perantara program Melodi adalah wajar bagi menyuntik elemen segar dan baharu. Melodi yang sudah bersiaran melebihi dua dekad ini sejajar dengan perubahan dengan memperkenalkan wajah dan set studio baharu.

Sherry & Zulin Diyakini Mampu Gamatkan Melodi


"Duo yang sedang meningkat naik, Sherry dan Zulin telah membuktikan kebolehan mereka sebagai pengacara dengan mengendalikan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur.

Personaliti dan celoteh mereka mempunyai keunikan dan stail tersendiri. Kami yakin dengan gandingan baharu Sherry, Zulin dan Awal dapat menggamatkan lagi program Melodi yang sarat dengan isu hangat serta sensasi hiburan tanah air," ujar Sherina.

Tenaga produksi Melodi diterajui oleh Jamil Hassan selaku Penerbit Eksekutif, Michelle Wee selaku penerbit serta dibantu oleh Azwan Azmi, Nurul Izza Safar, Nik Shafiq Hadari, Suhairiyah Zahrih, Muhammad Fared Syauky dan Farhan Ikram.

"Kami ingin membuat eksperimen untuk tidak bergantung kepada populariti pengacara semata-mata tetapi fokus kepada kekuatan kandungan program yang diperbaharui bagi menepati kehendak cita rasa jutaan penonton.

Sekali gus saya juga ingin menepis dakwaan yang mengatakan kontrak Zizan dibatalkan kerana kontroversi yang melandanya, sebaliknya kerana kontraknya sudah tamat. Manakala Awal masih lagi dikekalkan dan akan berganding bahu bersama Sherry dan Zulin mengacarakan Melodi," ujar Michelle ketika ditemui selepas siaran langsung rancangan tersebut di Studio B, Sri Pentas Persiaran Utama, Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas mengenai rancangan hiburan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, Michelle menegaskan yang perkara ini memberikan persaingan sihat kepada semua pihak.

"Tidak semestinya Melodi yang merupakan antara program hiburan terawal dan sudah menapak selama 22 tahun perlu berada pada takat yang sama saja.

Kami sudah lama mempertimbangkan untuk menukar konsep seminggu sekali kepada setiap hari, namun Melodi terdiri daripada kumpulan kecil namun kandungan yang cuma kami tonjolkan pula begitu banyak. Semuanya masih berada dalam perancangan," ujar Michelle mengakhiri perbualan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers