Tauke Cabar Pihak Yang Cuba Burukkan Imej Jambu

Tauke Cabar Pihak Yang Cuba Burukkan Imej Jambu

Tauke Cabar Pihak Yang Cuba Burukkan Imej Jambu


Penglibatan duo pelawak Jambu dalam sebuah majlis amal sempena Karnival Pencinta Alam Sekitar di Bentong pertengahan Januari lalu akhirnya berakhir dengan satu khabar kurang enak setelah hampir dua bulan berlalu.

Ada pihak mengadu bahawa pihak Jambu tidak menunaikan janji mereka seperti mana yang dibincangkan terlebih dahulu. Jambu dikatakan hanya mengadakan persembahan yang ringkas selama 30 minit serta lambat hadir ke lokasi iaitu sebuah sekolah di daerah Bentong, Pahang.

Portal Murai terus mendapatkan penjelasan daripada Tauke Jambu berkenaan dakwaan ini. Pelawak tersebut menjelaskan tentang dakwaan yang dibuat oleh wakil pihak NGO tersebut dan mengingatkan individu tersebut supaya tidak merosakkan nama Jambu serta melibatkan nama Sultanah Pahang dalam hal ini.

“Jika dia mahu memanjangkan hal ini, saya sarankan ia diselesaikan secara professional. Saya cabar dia jika dia mahu menggunakan kuasa mahkamah kerana pada saya, Jambu sudah menunaikan janji untuk datang ke Bentong demi menjayakan acara amal yang dihadiri Sultanah Pahang tersebut.

“Dengan bayaran RM9000 untuk saya dan Yus, tiada penginapan juga makanan, kehadiran Jambu ke sana pun kerana berbesar hati apabila tahu dapat membuat persembahan di hadapan Sultanah Pahang walaupun penat selepas bergegas daripada program Maharaja Lawak Mega pada malam sebelumnya.

“Memang kami cuma mengadakan persembahan selama 30 minit kerana penganjur telah meminta kami berhenti kerana VVIP mahu melawati booth yang ada sempena karnival tersebut.

“Tetapi Jambu turut serta mengiringi dan berada di sana hampir jam 6 petang dan beredar selepas menerima baki bayaran persembahan,” jelas Tauke mengenai dakwaan daripada penganjur yang tidak berpuas hati dengan persembahan Jambu di Bentong, Januari lalu.

Tauke turut menambah bahawa mungkin terdapat kekeliruan yang berlaku di antara wakil penganjur yang mendakwa Jambu mengadakan persembahan yang ringkas. Walhal, pelawak duo itu berada di lokasi sehingga jam 6 petang.

“Saya rasa individu yang mengadu ini mungkin salah faham dengan perjanjian diantara dia dan pihak Jambu. Dengan jumlah bayaran sebanyak itu, tanpa penginapan dan makan serta lokasi pula luar dari KL, ia tidaklah berbaloi sebenarnya.

“Mengenangkan permintaan daripada pihak penganjur, Jambu turutkan juga kerana tidak mahu dianggap sombong dan sebagainya. Tetapi pada peringkat ini Jambu pula dituduh tidak menunaikan janji. Saya kira ini adalah percubaan untuk memburukkan nama Jambu dengan menggunakan nama VVIP untuk memutarbelitkan cerita.

“Saya harap pihak penganjur mahupun individu yang mengadu mengenai hal ini tidak menggunakan nama VVIP yang hadir kerana saya lihat mereka terhibur dengan persembahan Jambu. Seharusnya mereka meneliti dahulu perjanjian yang telah dibuat sebelum mengeluarkan sebarang aduan yang boleh merosakkan imej Jambu,”tambahnya lagi.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers