Wanita Warga China Antara Yang Ditahan Terbabit Kes Samun Bersenjata


IPOH, 20 Mei (Bernama) -- Seorang wanita warga China adalah antara tujuh individu yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Kampung Acheh, Sitiawan dekat Manjung pada 15 Mei lepas.

Dua pucuk senjata api iaitu sepucuk pistol model Stayr Mannlicher Austria dan sepucuk revolver Ruger Speed-Six .38 Special serta 103 butir peluru .38 dan 27 butir peluru 9 mm turut dirampas daripada mereka.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua mereka yang berumur antara 21 hingga 38 tahun ditahan di sebuah hotel di Pantai Remis, Manjung dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

"Kira-kira pukul 1.30 pagi, tiga lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol menyamun pemilik restoran yang berumur 49 tahun dan enam pelanggannya.

"Suspek merampas wang tunai kira-kira RM20,000 dan pelbagai telefon bimbit selain melarikan sebuah kereta jenis Kia Sephia milik pemilik restoran itu.

"Sebelum melarikan diri, seorang daripada suspek melepaskan dua das tembakan ke arah CCTV (kamera litar tertutup). Bagaimanapun kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak Isnin.

Mohd Shukri berkata ekoran tindakan pantas anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, serbuan kemudian dilakukan di hotel terbabit dan berjaya menahan tujuh suspek serta merampas barangan yang disamun.

"Antaranya adalah wang tunai lebih kurang RM24,400, sembilan telefon bimbit, tiga jam tangan, dua kamera, barang kemas, dokumen peribadi mangsa dan dua kenderaan termasuk kereta pemilik restoran itu," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu turut dipercayai terlibat dalam dua kes pada 13 Mei lepas iaitu kes samun bersenjata di Bagan Serai dan kes tembak di Kuala Kurau.

Sehubungan itu polis membuka tiga kertas siasatan melibatkan kesalahan melepaskan senjata api secara haram, memiliki senjata api secara haram dan memiliki peluru tanpa permit, katanya.

Mohd Shukri berkata tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes ugut, tembak, bunuh, perintah tahanan dan dadah.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok.



-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers