Sekolah Agama Rakyat Di Kedah Diminta Daftar Sebagai SABK Untuk Transformasi

Malaysia, Pendidikan, Kedah, Alor Setar, Sekolah Agama Rakyat, Di, Kedah, Diminta, Daftar, Sebagai, SABK, Untuk, Transformasi, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan


ALOR SETAR, 20 Mei (Bernama) -- Sekolah agama rakyat di Kedah diminta berdaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi membolehkannya mendapat pelbagai bantuan bagi transformasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum berkata berdaftar sebagai SABK penting bagi membolehkan kerajaan Persekutuan menyalurkan pelbagai bantuan, sekali gus kebajikan pelajar dan gurunya terjamin.

"Kerajaan persekutuan akan salurkan pelbagai bentuk bantuan seperti bangunan kelas, asrama dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Jamil Khir sebelum itu mengadakan pertemuan rasmi dengan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bagi membincangkan isu agama, sekolah agama serta elaun imam dan guru agama di pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman.

Katanya di Kedah kini terdapat sebanyak 15 buah Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), 12 buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan 20 Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), tetapi hanya 12 buah sahaja berdaftar di bawah SABK.

Beliau berkata anggota lembaga SAR tidak perlu risau jika berdaftar sebagai SABK kerana kerajaan Persekutuan tidak akan mengambil alih pengurusan sekolah berkenaan dan hanya akan menyalurkan bantuan melalui Kementerian Pelajaran dalam usaha mentranformasikan pendidikan sekolah agama rakyat.

Beliau berkata guru juga akan mendapat manfaat apabila skim perkhidmatan diselaraskan seperti guru sekolah bantuan kerajaan.

"Guru juga akan menikmati skim sama serta ada kenaikan gred seperti DG41 dan DG44 dan kita juga akan ambil kira soal kebajikan guru-guru sekolah agama, kita akan beri fokus dan bantu," jelasnya.

Jamil Khir berkata beliau turut bimbang dengan silibus pelajaran sekolah agama rakyat yang tidak sama dengan silibus pelajaran kebangsaan sekali gus menyebabkan mereka ketinggalan.

Sementara itu, Mukhriz berkata beliau melihat keadaan kemudahan di sekolah agama dan pondok seperti kemudahan bilik darjah begitu daif dan perlu dinaik taraf.

Katanya walaupun institusi itu telah melahirkan ramai pelajar berilmu dan berjaya, kemudahan mereka tidak seharusnya terpinggir dan pelbagai bantuan boleh disalurkan jika berdaftar sebagai SABK.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers