Pembangunan Berterusan Hasil Hubungan Rapat Kerajaan Pusat, Negeri Sarawak


Malaysia, Berita, Ekonomi, Sarawak, Pembangunan, Berterusan, Hasil, Hubungan, Rapat, kerajaan, Pusat, negeri Sarawak

KUCHING, 20 Mei (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yakin kerajaan persekutuan akan terus memberikan perhatian yang khusus kepada pembangunan negeri ini, yang masih memerlukan lebih banyak kemudahan infrastruktur asas, terutama di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di pelbagai peringkat perlu diteruskan bagi merancakkan lagi arus pembangunan di Sarawak.

"Saya bersyukur kerana terjalinnya hubungan yang erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Ini jelas terbukti melalui lawatan yang kerap dilakukan ke negeri ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah dapat memahami kehendak dan keperluan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar," katanya ketika berucap pada perasmian persidangan Dewan Undangan Sarawak di Petra Jaya di sini Isnin.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud atas kepimpinannya berjaya membawa kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) negeri dalam pilihan raya umum ke-13, yang menggambarkan sokongan padu dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan persekutuan.

Mengenai pertumbuhan ekonomi Sarawak, beliau percaya kekuatan ekonomi negeri ini yang semakin rancak walaupun suasana pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan, ialah kerana adanya komitmen dan dasar kerajaan yang mesra pembangunan.

Abang Muhammad Salahuddin berkata pelaksanaan Sarawak Corridor of Renewable Energy (Score) berjaya meyakinkan para pelabur dan komuniti peniagaan terhadap prospek ekonomi negeri ini, yang dapat dilihat melalui peningkatan aktiviti pelaburan swasta yang membuka banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

Pembinaan infrastruktur oleh kerajan di Score seperti jambatan dan jaringan jalan raya ke empangan hidro juga memberi faedah yang besar kepada rakyat, khususnya sebagai pemangkin transformasi pembangunan di luar bandar manakala kedudukan Malaysia dalam aspek kemudahan menjalankan perniagaan telah bertambah baik dari tangga ke-18 pada 2012 kepada ke-12 pada tahun ini, katanya.

Dalam menyediakan keperluan rakyat di kawasan luar bandar, beliau berkata program transformasi luar bandar kerajaan turut melibatkan pembangunan ekonomi, yang merangkumi pembukaan kawasan baharu untuk tujuan perladangan, projek pertanian, perikanan dan pembuatan kraftangan di samping melaksanakan inisiatif survei perimeter ke atas tanah adat Bumiputera.

"Saya juga gembira kerana kerajaan turut mengambil berat terhadap pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat luar bandar, yang terbukti dengan pembinaan sekolah dan pusat latihan teknikal," katanya sambil menambah kata bahawa perkhidmatan doktor udara dan klinik bergerak 1Malaysia juga dilaksanakan untuk kemudahan rakyat yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.

Beliau berkata penuruan kadar kemiskinan di Sarawak daripada 5.3 peratus pada 2009 kepada 2.4 peratus pada tahun lepas jelas menunjukkan bahawa projek pembasmian kemisikinan yang dilaksanakan kerajaan telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat, yang meliputi semua lapisan masyarakat, termasuk kaum Penan.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers