KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pelantikan Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri jelas menggambarkan komitmen dan betapa seriusnya kerajaan meneruskan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat India.
Buat pertama kali, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa seorang wakil dari sebuah badan bukan kerajaan masyarakat India ke dalam Kabinet bagi membantu membawa perubahan positif dalam kedudukan sosiekonomi masyarakat India.
Hindraf, yang sebelum ini menentang kerajaan, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Barisan Nasional pada 18 April, dengan enam perkara utama, bertujuan bagi membawa masyarakat India yang miskin ke dalam arus perdana pembangunan negara.
Seorang pensyarah kanan HELP University Dr K.Harikrishan berkata kerajaan memberi perhatian serius berhubung dilema masyarakat India dan berharap dengan pelantikan Waythamoorthy, ia akan memastikan semua masalah yang melanda masyarakat itu dapat diselesaikan.
Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau menjelaskan masyarakat itu terutama generasi muda mahu melihat perubahan yang kekal dalam isu kerakyatan dan juga peluang pekerjaan dan perniagaan, yang sebelum ini diabaikan.
"Dengan pelantikan ini, kita berharap Waythamoorty akan berpegang dengan janji-janjinya bagi membawa gelombang harapan baharu kepada masyarakat India. Hari ini keseluruhan tanggungjawab terletak di bahunya dan MIC bagi memastikan semua janji-janji ditunaikan," katanya.
Pelantikan itu menerima kritikan daripada pelbagai individu, terutama Uthayakumar, yang mendakwa sebagai pemimpin Hindraf, dengan mengkritik adiknya Waythamoorthy kerana menerima jawatan Kabinet dan merujuk beliau sebagai oportunis politik.
Sabtu lepas, Waythamoorthy, berkata beliau akan memberi fokus terhadap masalah yang dihadapi masyarakat India seperti pekerja ladang yang tidak mendapat pembelaan, mereka yang tidak mempunyai taraf warganegara, pendidikan serta peluang perniagaan dan pekerjaan.
Bagaimanapun, penasihat Hindraf N Ganesan, mengecam kritikan itu sambil berkata Najib memerlukan individu atau pertubuhan bagi membawa transformasi yang diperlukan bagi masyarakat India.
Sementara itu, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata Waythamoorty kini mempunyai tanggungjawab besar bagi menterjemahkan semua yang tersenarai dalam rangka rancangan menjadi tindakan.
"Saya percaya mereka yang kembali menyokong BN akan memerhati dengan dekat rancangan dan pencapaiannya. Saya berpendapat adalah menjadi tanggungjawab wakil masyarakat India untuk memberi perhatian kepada isu-isu berkaitan masyarakat minoriti termasuk tugas yang diberikan di bawah unit khas bagi memantau dasar-dasar berkaitan masyarakat India.
Ketua Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya Prof Dr S. Kumaran berharap pemilihan enam wakil masyarakat India, yang dikehendaki masyarakat itu, akan menyumbang kepada kejayaan bagi membawa masyarakat itu ke peringkat lebih tinggi.
"Pelantikan Waythamoorthy tidak dijangka. Jadi, beliau perlu bijak menggunakan peluang ini untuk menunjukkan dedikasinya bagi membangunkan masyarakat India supaya mereka dapat terus mempercayai beliau sebagai tunggak kepimpinan pada masa depan," katanya.
Pelantikan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang Datuk Dr J.Loga Bala Mohan sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pula diharap membawa penambahbaikan dan perubahan kepada kehidupan masyarakat India, bersama-sama dengan empat wakil MIC.
-- BERNAMA
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.