Bernama Terus Gah Pada Usia 45 Tahun


Malaysia, Wartawan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Bernama, Terus, Gah, Pada, Usia, 45, Tahun

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang mula beroperasi pada Mei 1968, hari ini meraikan ulang tahunnya yang ke-45.

Bermula dengan perkhidmatan berita teks pada tahun 1968 dan beroperasi di sebuah banglo yang disewa terletak di 222, Jalan Pekeliling, Bernama kini melalui banyak perubahan sesuai dengan peredaran masa dan teknologi.

Pada awal penubuhannya, Bernama hanya beroperasi di Lembah Klang, tapi kini pertubuhan itu mempunyai pejabat di seluruh negara serta beberapa ibu negara di rantau ini seperti Singapura, Jakarta, Bangkok, Beijing dan New Delhi.

Bernama merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen 1967.

Selain memberikan perkhidmatan berita am dan ekonomi dalam bentuk teks dan gambar, Bernama juga turut menyediakan perkhidmatan berita dalam bentuk audio-visual, yang pada awalnya melalui sebuah unit audio-visual pada September 1998. Ia berkembang menjadi Bernama TV pada 28 Feb 2008 dan kini bersiaran di saluran 502 Astro.

Bernama dengan ibu pejabat di bangunan 15 tingkat di Wisma Bernama, Jalan Tun Razak, di sini, terus mengembangkan sayapnya apabila perkhidmatan stesen radio berita pertama Malaysia, Bernama Radio24 dilancarkan pada 3 Sept 2007 menerusi gelombang FM 93.9 MHz.

Peranan Bernama sebagai sumber berita terkini dan boleh dipercayai amat dikenali dalam kalangan media tempatan dan asing, agensi-agensi kerajaan, swasta, universiti dan individu di negara ini.

Bernama diperkuatkan dengan sokongan lebih 400 wartawan, editor, jurufoto dan jurukamera TV yang berada di seluruh negara serta di luar negara.

Pada majlis keraian Isnin, beberapa anugerah disampaikan kepada kakitangan Bernama iaitu Anugerah Khidmat Cemerlang, Anugerah Khidmat Lama serta hadiah aktiviti Hunt@Bernama yang diadakan pada Khamis lepas.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh, para pegawai pengurusan kanan Bernama dan kakitangan pertubuhan berita itu.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers