Agenda Perpaduan Nasional Perlu Berjalan Berterusan - Pengerusi AKEPT


Malaysia, Agenda, Perpaduan, Nasional, Perlu, Berjalan, Berterusan, Pengerusi AKEPT, Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggit, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin hari ini menegaskan perlunya agenda perpaduan nasional dijalankan berterusan dan bukan mengikut musim atau keadaan semasa.

Sehubungan itu, kata beliau, pendidikan amat berperanan dalam menyelesaikan isu perpaduan dengan fikiran yang seimbang dan waras tanpa melibatkan ketegangan atau menyentuh sensitiviti antara kaum.

"Tidak kira situasi semasa mahupun di masa depan, kita perlu memperkasa sistem pendidikan sedia ada bagi meredakan alunan ombak kebencian yang timbul antara kaum.

"Pendidikan adalah cara terbaik dalam mententeramkan jiwa yang tidak damai sekarang.

"Pendidikan merupakan platform penyatuan penting dalam meredakan ketegangan dalam masyarakat negara ini," katanya.

Beliau merujuk kepada keadaan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dan menegaskan ia merupakan sebahagian proses demokrasi yang dilalui oleh mana-mana negara yang mengamalkan konsep sama.

Wan Mohd Zahid bercakap pada sidang media selepas merasmikan "Konvensyen Kebangsaan, Kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi dan Kesejahteraan Sosial: Merealisasikan Transformasi ke Arah Masyarakat Sejahtera" di sini Isnin.

Beliau berkata: "Dalam keadaan mencabar sekarang pendidikan mampu menjadi jalan secara seimbang bagaimana mahu rapatkan kembali hubungan antara kaum".

Sementara itu, Wan Mohd Zahid juga menggesa cerdik pandai dalam pendidikan supaya menganalisis kandungan 107 memorandum berkaitan pendidikan yang diserahkan kepada kementerian pelajaran sebelum ini.

Memorandum hasil dialog dengan 12,000 ahli masyarakat yang diadakan pada Julai tahun lalu itu perlu dijadikan referendum bagi memastikan tuntutan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara sentiasa dipenuhi.

"Ia amat penting secara bertulis masyarakat meluah apakah harapan mereka terhadap pelajaran dari sudut pandangan masing-masing.

"Dan untuk mewujudkan kesejahteraan di dalam masyarakat ia mesti diambil kira," katanya.

Katanya, antara kandungan memorandum berkenaan ialah masyarakat mahukan kesamarataan dalam pendidikan dari segi kemudahan, tenaga pengajar dan bahan antara golongan mampu dan kurang mampu.

Masyarakat juga mahu pihak berkenaan tidak terlalu mementingkan soal meritokrasi sebaliknya juga memberi perhatian kepada golongan yang tidak mampu mendapat pendidikan bermutu tinggi kerana kekangan sosio-ekonomi.

Konvensyen anjuran Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi (KPT), AKEPT, Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) selama dua hari itu akan membentangkan 48 kertas kerja melibatkan ahli panel dari pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik, pembuat dan pelaksana dasar.

Antara panelis ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Noorul Ainul Mohd Nur; Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Datuk Yunus Pathi; dan Tan Sri Dr Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers