Penyatuan Dua Jiwa Liyana Jasmay, Fathuddin Mazlan


Penyatuan, Dua, Jiwa, Liyana Jasmay, Fathuddin Mazlan, Artis Malaysia, Hiburan, Malaysia


KUALA LUMPUR, 4 FEB 2013: Sempurna sudah satu hari yang pastinya amat bermakna dalam hidup aktres yang bakal bergelar pengarah, Liyana Jasmay apabila dia sudah sah diikat sebagai isteri kepada Fathuddin Mazlan. Majlis resepsi mereka telah berlangsung pada hari yang sama mereka diijabkabulkan.

Mereka yang selamat dinikahkan oleh bapa Liyana sendiri, Dato Hj Jasmay Md Shah pada pagi 2 Februari di Pacific Ballroom, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur telah diraikan dalam majlis resepsi penuh gilang gemilang pada malam harinyanya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Hadirin yang datang terdiri daripada sanak saudara, sahabat handai, rakan media dan rakan-rakan artis yang memeriahkan majlis resepsi mereka pada malam itu. Lebih kurang jam 9.10 minit malam pasangan ini melangkah masuk ke dalam dewan diiringi selawat dan diikuti dengan putaran lagu Cinta Bersatu iaitu lagu Liyana sendiri.

Liyana dibaluti gaun indah berona putih siap berlayah sarat berperincian dan lace yang telah direka oleh pereka yang sama mereka busananya pada majlis pernikahan, Jovian Mandagie. Fathuddin pula lengkap bersut, segak melangkah menuju peterana indah pasangan raja sehari itu.

Mereka berdua telah duduk bersanggah di pelamin indah ilham daripada Reka Teemor sementara majlis merenjis mengambil tempat melengkapkan tradisi. Para VVIP dan saudara mara antara mereka yang dijemput dalam majlis tepung tawar itu.

Malam diteruskan dengan dendangan muzik secara live daripada pemuzik handalan, AG Coco bersama kumpulan kugiran AG & Co memainkan lagu yang dipiih sendiri oleh Liyana Jasmay khabarnya. Usai upacara merenjis, mereka diarak semula ke meja santapan untuk aturcara seterusnya.

Ketika semua hadirin dan pengantin menikmati hidangan yang tersedia, mereka turut dihidangkan dengan rakaman video ucapan serta segala persiapan yang disempurnakan oleh ahli keluarga, sahabat dan rakan-rakan artis.

Liyana dilihat menitiskan air mata ketika menonton ucapan daripada kedua ibu dan bapanya, Dato Hj Jasmay Md Shah dan Datin Habsah Simpon yang menyampaikan kata-kata terakhir mereka sebelum melepaskan puteri bongsu mereka itu menjadi milik orang.

Selesai majlis makan malam, Liyana dan Fathuddin kembali ke dalam Dewan Merdeka dengan busana bagi upacara pemotongan kek yang direka khas oleh pereka Rizman Ruzaini yang turut menjadi pereka kegemaran buat Liyana Jasmay.

Gaun indah kembang bak puteri di majlis tari-menari itu disempurnakan dengan dandanan rambut ponytail. Pada malam itu, Liyana mendapatkan khidmat seorang lagi jurusolek kegemarannya, Deq Sha yang merealisasikan malam istimewa pelakon tersebut.

Majlis tersebut sekali lagi turut diacarakan teman baik Liyana iaitu selebriti Farish Aziz. Sebelum majlis berakhir Liyana dan Fathuddin memberi ucapan sebagai tanda terima kasih mereka kepada hadirin yang sudi hadir meraikan hari bahagia pasangan itu.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers