Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 4 FEBRUARI 2012: Sejak mula menceburi bidang glamor, bintang terkenal, Liyana Jasmay yang baru sahaja selamat berkahwin dengan jejak pilihan, Fathuddin Mazalan seakan kebal dengan segala gosip dan apa sahaja perkara yang membabitkan namanya.
Liyana dan Fathuddin yang selamat bernikah di Pacific Ballroom, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur semalam menjelaskan bahawa mereka tidak ambil tahu dan mengabaikan isu foto pra perkahwinan yang mencetus kontroversi menjelang hari bahagia mereka.
Pasangan ini ditemui pada sidang akhbar selepas upacara ijabqabul itu memberitahu media bahawa isu ini tidak mendatangkan masalah besar. Malah mereka hanya terus memberi fokus kepada persiapan perkahwinan mereka.
"Sejak daripada umur saya 9 tahun benda seperti ini datang dan pergi. Jadi saya tidak terkejut dan cuba untuk tidak mengambil tahu hal yang remeh ini dan lebih menumpukan kepada persiapan perkahwinan.
"Sehari dua ini orang akan bercakap dan minggu hadapan mereka akan lupakan kerana ada cerita lain yang lebih panas. Ini lumrah industri ini dan saya tidak terasa apa - apa pun.
"This is not about being self-centred kerana orang bukan bercakap pasal saya seorang hari-hari,"ulas Liyana Jasmay mengenai isu yang hangat diperkatakan seminggu sebelum mereka diijabkabulkan.
Begitu juga dengan Fathuddin yang menjawab pertayaan wartawan dengan ringkas bahawa dia mengambil tindakan untuk tidak membaca langsung isu yang diperkatakan itu.
"Saya tidak membaca dan tidak mengambil tahu langsung mengenai isu gambar itu. Lagipun Liyana sudah menjelaskan kepada saya dan saya hanya tumpukan perhatian pada hal yang lebih penting iaitu perkahwinan kami,"ujar Fathuddin.
Pasangan ini akan terbang ke New York pada pertengahan Februari ini kerana Liyana mempunyai projek filemnya disana. Selesai semua di New York mereka akan singgah di Kota London seketika untuk bercuti sebentar dan terus pulang ke Sabah pada 8 Mac depan.
Umum mungkin sudah mengetahui bahawa Liyana akan menetap di Sabah kerana mengikut Fathuddin yang mempunyai perniagaan disana. Tetapi dia akan tetap terus menjalankan segala aktiviti seninya seperti biasa.
macam-macam dorang ni..papepun dah selamat menikah..huhu
ReplyDelete