Video lagu raya dendangan guru tarik perhatian #covid19 #RamadanMubarak #malaysia #kitajagakita #adele #beritaviral #korbankasih #bukangadisbiasa

Video lagu raya dendangan guru tarik perhatian Bermula sekadar untuk mengisi masa lapang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tanpa diduga kolaborasi lulusan bidang muzik dari sebuah universiti awam,  Putra Iqmal Hashim bersama enam guru berjaya menarik perhatian ramai apabila klip video lagu raya mereka menjadi tular.

Video lagu raya dendangan guru tarik perhatian Bermula sekadar untuk mengisi masa lapang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tanpa diduga kolaborasi lulusan bidang muzik dari sebuah universiti awam,  Putra Iqmal Hashim bersama enam guru berjaya menarik perhatian ramai apabila klip video lagu raya mereka menjadi tular.


Menerusi projek #muzikdarirumah, Putra Iqmal bersama guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka; SK Pulau Tuba dan SK Penghulu Ahmad di Langkawi bersama guru SK Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah serta guru SK Ayer Hitam, Pulau Pinang menyampaikan lagu dan bermain alat muzik dalam klip video lagu 'Salam Dunia' dendangan asal Datuk M Nasir.

Bercakap kepada Bernama, Putra Iqmal, 25, lulusan Ijazah Sarjana Muda Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata idea untuk menghasilkan klip video itu bermula hasil perbincangan bersama rakannya yang juga guru SK Ulu Melaka, Mohd Mustaqim Muhaidi, 33.

"Mohd Mustaqim bertindak sebagai penyanyi, guru SK Pulau Tuba, Mohamad Azwan Mohd Arham, 35 (pemain gitar) serta Hasnulhadi Ibrahim, 33, (pemain gitar) dan guru SK Penghulu Ahmad Mohamad Firdaus Fadzil, 37, (percussion). 





"Turut terlibat menjayakan klip video ini guru SK Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Ahmad Izzat Khairi, 34, (keyboard) dan guru SK Ayer Hitam, Pulau Pinang, Ammar Abd Aziz, 30 (seruling)," kata Putra Iqmal yang bermain bass dalam klip video itu.

Putra Iqmal yang kini bertugas sebagai Pengurus Pusat Internet IOCC Langkawi berkata dia mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan klip video itu, sebelum memuat naik di laman Facebooknya sejak semalam.

"Saya terima ‘raw’ video enam guru terlibat yang dirakam di rumah masing-masing pada Isnin lepas dan mula buat susunan semula termasuk pastikan kualiti hasil yang sempurna, seterusnya hasilkan klip video berkenaan.

“Semuanya ambil masa tiga hari untuk siap, dan semalam muat naik di Facebook saya. Alhamdulillah setakat petang ini klip video berdurasi empat minit 19 saat itu sudah dapat 604 perkongsian, 102 komen dan 1,000 tanda suka," katanya yang berasal dari Kampung Ulu Melaka, Langkawi.

Mengakui tidak menjangka klip video itu mendapat sambutan baik, Putra Iqmal bersyukur usaha sekadar memenuhi masa lapang itu mendapat perhatian serta sokongan orang ramai.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers