Trend kes positif COVID-19 tanpa gejala madrasah tahfiz membimbangkan - KP Kesihatan #COVID19 #RamadanMubarak #malaysia #kitajagakita #adele #beritaviral #korbankasih #bukangadisbiasa

Trend kes positif COVID-19 tanpa gejala madrasah tahfiz membimbangkan - KP Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 539 daripada 635 orang dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan madrasah dan tahfiz atau 84.9 peratus yang dikesan positif COVID-19 tidak mempunyai sebarang gejala saluran pernafasan.

Trend kes positif COVID-19 tanpa gejala madrasah tahfiz membimbangkan - KP Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 539 daripada 635 orang dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan madrasah dan tahfiz atau 84.9 peratus yang dikesan positif COVID-19 tidak mempunyai sebarang gejala saluran pernafasan.


Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini seterusnya boleh mengakibatkan penularan yang lebih meluas dalam kalangan ahli keluarga mereka dan masyarakat setempat, sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.  

Beliau berkata pengesanan kes secara aktif dan pendekatan tertumpu KKM sehingga kini telah mengenal pasti 19,209 orang terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan daripada 370 madrasah dan pusat tahfiz di seluruh Malaysia.

Katanya daripada jumlah keseluruhan itu, sejumlah 12,384 sampel diuji dan terdapat 635 kes positif; 10,755 kes negatif dan 994 kes masih menunggu keputusan.

“Berdasarkan keputusan saringan ini, didapati kadar positif kalangan kumpulan berisiko ini adalah 5.1 peratus. Jika dibandingkan dengan situasi pada satu minggu lalu (7 Mei 2020), kadar positif kalangan kumpulan berisiko ini adalah 4.4 peratus.

“Trend kenaikan kadar positif ini adalah membimbangkan kerana ia menunjukkan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain dalam kalangan kumpulan ini adalah semakin meningkat," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Sehingga ini, terdapat enam kluster COVID-19 melibatkan madrasah tahfiz iaitu empat kluster, yang  merupakan subkluster kepada perhimpunan di Seri Petaling manakala dua lagi masih dalam siasatan.




“Kluster Madrasah di Solok Duku telah dikenal pasti sebagai kluster terbaru berkaitan madrasah tahfiz. Setakat ini, seramai 107 pelajar, guru dan ahli keluarga telah disaring, iaitu dua kes positif COVID-19 dalam kalangan 35 orang pelajar, tiada kes positif dalam kalangan 10 orang guru dan kakitangan madrasah serta dua kes positif COVID-19 dalam kalangan 62 ahli keluarga guru, kakitangan dan pelajar,” katanya.

Lima kluster lain adalah Madrasah di Sungai Salan, Pahang (84 kes) ; madrasah Sungai Lui, Selangor (172); Madrasah Ayer Merbau, Melaka (41 kes); Tahfiz Lanchang, Pahang (enam kes) dan Madrasah di Penanti, Pulau Pinang (enam kes).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pihaknya dimaklumkan terdapat lebih daripada 1,000 madrasah persendirian yang masih belum tampil untuk menjalankan saringan COVID-19.

“Jadi apa yang KKM ingin menyeru kepada pengurusan madrasah persendirian untuk menghubungi PKD (Pusat Kesihatan Daerah) atau Kementerian Kesihatan supaya tindakan saringan dapat dijalankan kepada pelajar tersebut.

“Ada pelajar duduk di madrasah dan kita boleh saring dan didapati ada yang positif, ada pelajar yang telah pulang ke rumah mereka dan daripada 120 madrasah tersebut kami akan kesan pelajar tersebut,” katanya sambil menambah jika pelajar tersebut positif COVID-19, keluarga mereka akan turut disaring.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham memberitahu, KKM membangunkan beberapa saranan sebagai pelan tindakan iaitu pelajar madrasah atau pusat tahfiz yang sudah pulang ke rumah ibu bapa atau penjaga dimohon menghubungi PKD, Klinik Kesihatan atau hospital saringan KKM yang berdekatan untuk menjalani persampelan ujian COVID-19.

“Pelajar yang belum pulang, diminta supaya kekal berada di madrasah atau pusat tahfiz, serta menghubungi PKD atau Klinik Kesihatan saringan terdekat agar dapat dijalankan aktiviti persampelan.

“Kerjasama daripada pihak pengurusan madrasah juga dialu-alukan untuk menghubungi PKD yang berdekatan untuk memberi maklumat yang diperlukan berkaitan pelajar atau kakitangan di pusat masing-masing agar KKM boleh menjalankan tindakan pendekatan tertumpu yang berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers