PAU 2015: Kembalikan kepercayaan ahli

PAU 2015: Kembalikan kepercayaan ahli
Isu-isu yang dihidangkan pada PAU kali ini akan menjadi tumpuan bukan sahaja masyarakat umum malah, turut akan dinilai oleh pemerhati luar

Sesetengah pihak mungkin menganggap Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 yang akan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember ini `sedikit luar biasa’ berbanding perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.

Seramai 3.4 juta ahli UMNO menantikan perhimpunan bagi mengetahui hala tuju parti itu seterusnya.

Tidak ketinggalan, para pemerhati politik turut sama menantikannya kerana pelbagai usul akan diangkat dan dibahaskan.

Ini terbukti, kerana terdapat reaksi umum terhadap perhimpunan parti orang Melayu yang berusia hampir 70-dekad itu sudah rancak kedengaran dibincangkan.

Antara yang menjadi topik perbualan bukan sahaja di kedai-kedai kopi malahan, di tempat-tempat awam adalah perkara yang berkaitan dengan isu dalaman parti selain kestabilan politik tanah air.

Tidak dinafikan, perkara-perkara itu sememangnya diintai dari setiap sudut dan ia bukan sahaja melibatkan orang-orang UMNO malahan, mereka yang berada di luar parti.

Hakikatnya, perhimpunan pada kali ini akan menjadi tumpuan kerana salah satu perkara yang akan dipandang adalah berkaitan dua individu yang merupakan penggerak utama dalam parti itu telah terkeluar daripada barisan kerajaan.

Aspek berkenaan mungkin akan menjadi salah satu daripada topik perdebatan oleh para perwakilan yang hadir dalam perhimpunan terbesar itu kerana kedua-dua individu berkenaan mempunyai pengaruh yang kuat di dalam parti.

Selain itu, tumpuan pastinya akan turut diberikan terhadap pendedahan bekas Presiden parti berkenaan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung beberapa perkara yang menjadi isu panas sejak kebelakangan ini.

Bermula dari isu berkaitan skandal syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International hinggalah kepada isu dana suntikan derma terhadap parti berjumlah RM2.6 bilion yang kecoh diperkatakan oleh masyarakat.

Pihak-pihak yang mungkin terlibat dengan skandal-skandal itu harus bersedia dengan jawapan sekaligus merungkai persoalan-persoalan ahli parti yang mahukan ketelusan jawapan yang diberikan.

Jika dilihat secara halus, seandainya perkara-perkara itu dibawakan oleh perwakilan di pentas perdebatan, pastinya perhimpunan pada kali ini akan menjadi penentu kepada hala tuju parti.

Ini kerana apa yang berlaku itu mempunyai hubung kait dengan amanah yang diberikan kepada pemimpin yang menerajui negara.

Dalam hal ini, saya mahu agar persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh para perwakilan pada PAU kali ini dijawab dengan sejujurnya tanpa ada dakwa dakwi atau menggunakan kuasa menghalang serta mengambil tindakan disiplin sebagaimana yang sering dilakukan kepada orang-orang tertentu sebelum ini.

Apa pun, marilah sama-sama kita menunggu tanggal 8 Disember ini untuk melihat dentuman yang akan berlaku dalam perhimpunan yang akan berlangsung dengan penuh warna-warni.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers