HCMS urus pensijilan halal atas talian

HCMS urus pensijilan halal atas talian
MOHAMED Hazli ketika sidang media selepas perasmian konvensyen badan pensijilan halal di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), turut kelihatan Pengarah Bahagian Hab Halal, Hakimah Mohd Yusoff. - Foto Mohd Fadli Hamzah


DagangHalal Bhd (DHB), penyedia platform e-dagang halal global melancarkan Sistem Pengurusan Sijil Halal (HCMS), sistem pengurusan persijilan atas talian pertama seumpamanya di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamed Hazli Mohamed Hussain, berkata sistem interaktif yang dilengkapi ciri keselamatan ketat membolehkan pengurusan 73 badan persijilan halal global lebih mudah dan cepat.

"HCMS berupaya mengendalikan transaksi data berskala besar dengan lancar, sekali gus meningkatkan kecekapan, produktiviti dan mengurangkan kos bagi menjejaki pensijilan halal oleh badan diiktiraf JAKIM.

"Dengan HCMS, badan pensijilan global juga dapat mencetak sijil yang mana dapat mengurangkan aliran kerja pemprosesan pengeluaran sijil halal," katanya kepada media selepas pelancaran aplikasi berasaskan web itu di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusof.

HCMS adalah aplikasi penambahan kepada Enjin Pengesahan Halal (HVE) yang diperkenalkan DHB sebelum ini.

Pelancaran aplikasi itu adalah bersempena Konvensyen Badan Pensijilan Halal Antarabangsa Ke-6 anjuran JAKIM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang bermula hari ini.

Mohamed Hazli berkata, pengenalan HCMS amat tepat pada masanya bagi memenuhi permintaan perdagangan halal global yang dijangka mencecah AS$2.5 trilion (RM9.24 trilion) menjelang tahun 2018.

"Dengan trend permintaan produk halal semakin meningkat, satu platform tunggal seperti HCMS adalah penting untuk memastikan badan pensijilan antarabangsa dapat menguruskan standard persijilan halal dengan lebih sistematik," katanya.

Mengulas mengenai HVE, beliau berkata, aplikasi yang diperkenalkan tahun 2013 kini mempunyai 100,000 produk dan 20,000 sijil halal bagi memudahkan orang ramai memeriksa status produk dengan hanya menaip nama produk berkenaan di enjin carian itu.

"Dalam tempoh lima tahun, kami menyasar ada 10 juta produk dan satu juta sijil halal untuk dimanfaatkan oleh enam juta pengguna.

"HVE menjana keuntungan menerusi caj dikenakan kepada pengguna peniaga yang ingin memuat turun pensijilan halal dari enjin pencarian berkenaan," katanya.

Selain HVE, Mohamed Hazli berkata, DHB juga menguruskan portal DagangHalal.com, aplikasi web yang menjadi platform kepada peniaga untuk mempamerkan produk dan menjadi destinasi perniagaan halal antara peniaga (B2B) secara atas talian.

"Setakat ini terdapat 16,536 produk halal ditawarkan menerusi web ini, dan kami menjangkakan ia berkembang kepada 100,000 produk dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers